KUALA LUMPUR: Jangan salah guna kuasa, pertahankan integriti dan ingat setiap amanah akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Itu pesanan terakhir Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum menamatkan perkhidmatan selepas hampir 35 tahun berbakti kepada pasukan itu.
Menurutnya, setiap anggota perlu sentiasa menginsafi bahawa setiap amanah dan kuasa akhirnya akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
“Pegang dan pertahankan integriti yang kita semat di dada. Integriti bukan tentang siapa diri kita ketika dipuji, tetapi siapa diri kita ketika tiada sesiapa yang melihat.
“Manusia mungkin tidak melihat. Ketua mungkin tidak mengetahui. Namun Allah SWT sentiasa melihat. Malaikat Raqib dan Atid sentiasa mencatat.
“Setiap amanah akan dipersoalkan. Setiap kuasa akan dipertanggungjawabkan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) semalam.
Mengimbau perjalanan kerjayanya, Ayob Khan berkata, PDRM bukan sekadar tempat beliau mencari rezeki, malah sebuah keluarga yang membentuk jati diri sepanjang hampir tiga setengah dekad berkhidmat.
Katanya, pasukan itu mengajar beliau tentang keberanian, kesetiaan, kehilangan dan pengorbanan, selain menerima hakikat bahawa setiap amanah mempunyai penghujungnya.
“Saya mungkin tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan PDRM. Namun doa saya akan sentiasa bersama pasukan ini.
“PDRM telah memberikan saya lebih daripada sebuah kerjaya. Pasukan ini memberikan saya keluarga dan sahabat.
“Pasukan ini mengajar saya erti keberanian, kesetiaan, kehilangan dan pengorbanan. Pasukan ini juga mengajar saya bahawa tidak semua perkara dalam hidup menjadi milik kita untuk selama-lamanya,” katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya amanah itu diserahkan kepada generasi baharu untuk meneruskan legasi pasukan.
“Akan tiba masanya kita perlu melepaskan. Bukan kerana kita tiada hati, tetapi kerana amanah itu perlu diteruskan oleh generasi yang berikutnya.
“Pada akhirnya, kita semua akan berdiri di hadapan Allah SWT bukan dengan pangkat atau jawatan, tetapi dengan amal dan perbuatan kita,” katanya.
Terdahulu, majlis serah terima tugas berlangsung antara Ayob Khan dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Ibrahim Darus yang dilantik sebagai Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.
Ayob Khan yang mula menyertai PDRM pada Disember 1991 dan mula bersara wajib esok selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam pasukan.- UTUSAN










