Semua universiti wajib tubuhkan Majlis Penasihat Industri Universiti 

Semua universiti wajib tubuhkan Majlis Penasihat Industri Universiti 

ADAM ADLI ABDUL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua universiti awam diwajibkan menubuhkan Majlis Penasihat Industri Universiti (IAP) bagi memastikan program akademik yang ditawarkan kekal relevan dan memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, selain itu semua universiti juga perlu memperkukuh kerjasama dengan syarikat dan badan profesional bagi membantu kebolehpasaran graduan mereka.

Ia termasuk SIRIM, Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT), Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Malaysia Rail Link (MRL).

Beliau berkata, pada masa sama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan MYFutureJobs bagi memastikan padanan pekerjaan graduan adalah setara kelayakan dimiliki.

Kementerian juga katanya, menjalin sinergi bersama TalentCorp, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk memantau perkembangan kebolehpasaran graduan secara berterusan.

“KPT juga telah mengubah pendekatan bagi melahirkan graduan menjadi pencipta pekerjaan menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026–2030.

“Pelan ini kita beri penekanan terhadap keusahawanan digital, ekonomi data raya dan keusahawanan sosial yang mampu melatih pelajar daripada sekadar mencari pekerjaan kepada pencipta peluang pekerjaan sendiri,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berhubung langkah kementerian meningkatkan kebolehpasaran graduan supaya memperoleh pekerjaan setara kelayakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Adam berkata, KPT turut memperluaskan pelaksanaan pembelajaran berasaskan pekerjaan menerusi Program 2u2i yang menggabungkan dua tahun pengajian di universiti dan dua tahun latihan industri.

Katanya, kementerian juga melaksanakan program Ijazah Perantisan berkonsepkan earn and learn dengan 70 hingga 80 peratus pembelajaran dijalankan di tempat kerja bagi memberi pendedahan kepada pelajar terhadap persekitaran industri sebenar.

“Selain itu, penubuhan Makmal Inovasi dan Automasi (CiA Lab) di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Sandisk menyediakan pembelajaran berasaskan pengalaman serta pendedahan secara langsung kepada aplikasi teknologi industri.

“KPT turut menjajarkan kurikulum mengikut keperluan semasa termasuk mengintegrasikan sekurang-kurangnya satu subjek berkaitan AI bagi setiap program pengajian di universiti awam bermula tahun ini,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN