GEORGE TOWN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa sejarah Malaysia tidak boleh terus ditentukan oleh monumen peninggalan masa lalu atau naratif yang dibentuk oleh bekas kuasa penjajah seperti British, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).
Sebaliknya, beliau berkata, sejarah negara mesti ditentukan oleh rakyatnya sendiri dan dibina semula bagi memberi pengiktirafan terhadap pengorbanan, penderitaan serta semangat juang rakyat.
“Sejarah itu mesti ditentukan oleh rakyat kita sendiri dan ia perlu dibina semula bagi memberikan makna kepada pengorbanan serta kesetiaan yang telah dicurahkan oleh rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Fort Cornwallis di Padang Kota Lama di sini, hari ini.
Menurut Anwar, sejarah juga perlu dipelihara sebagai bukti perjalanan negara, namun, ia mesti disampaikan daripada perspektif rakyat Malaysia dan bukan sekadar berdasarkan tinggalan penjajah sahaja
Mengambil pandangan penulis terkenal, Mark Twain, beliau berkata, sesebuah bandar mungkin maju dari segi teknologi dan pembangunan fizikal, namun, akan menjadi ‘gersang budaya’ sekiranya gagal memelihara sejarah dan jati diri.
Katanya, dalam hal ini, sejarah telah membuktikan bahawa negara yang gagal memelihara perpaduan akhirnya menjadi lemah dan mudah dipengaruhi kuasa asing.
Sementara itu, Anwar berkata, usaha memulihara Fort Cornwallis bukan bertujuan mengagungkan era penjajahan sebaliknya ia sebagai ruang untuk mendidik generasi muda memahami hakikat sejarah negara dan mengambil iktibar daripada pengalaman pahit yang dilalui rakyat.
Katanya, setiap keputusan yang dibuat oleh kuasa kolonial ketika itu adalah demi kepentingan strategik mereka, tanpa mengambil kira kepentingan, budaya, warisan dan kelangsungan hidup rakyat tempatan.
“Yang menentukan nasib Pulau Pinang ketika itu sebagai contoh, bukanlah rakyat Pulau Pinang sendiri, tetapi, ia ditentukan oleh kuasa-kuasa asing.
“Ini pengajaran penting kepada generasi hari ini bahawa tanpa perpaduan, pembangunan, keamanan dan kekuatan pertahanan, kita mudah menjadi mangsa campur tangan pihak luar,” katanya.-UTUSAN










