KUALA LUMPUR: Segmen isi rumah dan strategi penyewaan dijangka kekal sebagai penyumbang pertumbuhan paling pantas CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia) dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, disokong oleh pengukuhan strategi Omnichannel (berbilang saluran)
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, walaupun syarikat melihat potensi dalam segmen korporat dan hospitaliti, pasaran pengguna isi rumah masih menjadi teras utama pendapatan kumpulan.
“Dalam tiga hingga lima tahun, kami masih fokus kepada isi rumah kerana itu sumber pendapatan utama.
“Model sewaan juga akan terus menjadi penting dan terus menunjukkan kepentingannya dalam memperluas akses pengguna kepada produk gaya hidup rumah yang lebih mampu milik.
“Model ini masih sangat penting untuk kami. Ia bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti, tetapi juga menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Projek “CUCKOO Loves, Cares” di sini semalam.
Beliau berkata, strategi pertumbuhan syarikat kini digerakkan melalui tiga tonggak utama iaitu pengembangan SKU dan jualan silang, pengukuhan OmniChannel termasuk e-dagang dan platform seperti TikTok, serta peningkatan kecekapan operasi.
“CUCKOO Malaysia turut memperkenalkan pelan sewaan bagi produk seperti televisyen dan peti sejuk menerusi kerjasama dengan Samsung *Malaysia* bagi menjadikan peralatan rumah lebih mampu milik dan mudah diakses,” katanya.
Mengulas strategi pengurusan 2026, beliau menegaskan tumpuan kekal kepada penciptaan nilai jangka panjang melalui model Pencipta Kediaman Sihat yang menawarkan penyelesaian *kediaman* sihat, mampu milik dan mudah diakses.
“Syarikat turut memperkukuh kehadiran OmniChannel bagi memastikan produk boleh diakses melalui pelbagai platform termasuk e-dagang ~dan media sosial.~
“Dalam masa sama, kecekapan operasi terus menjadi keutamaan bagi memastikan setiap perbelanjaan memberi pulangan berkesan, sejajar dengan transformasi digital kumpulan, “ katanya.
Beliau berkata, walaupun isi rumah menjadi fokus utama, CUCKOO Malaysia turut melihat peluang dalam segmen korporat serta industri hotel, restoran dan kafe (HORECA), termasuk penggunaan penapis air di ruang komersial.
“Kami nampak potensi besar dalam segmen korporat dan HORECA, tetapi isi rumah masih teras utama kami,” katanya.
Dalam pada itu, CUCKOO Malaysia melancarkan pelan induk tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbaharu menerusi Projek CUCKOO Loves, Cares yang menyatukan semua inisiatif kebajikannya di bawah satu rangka kerja bersepadu.
Seiring pelancaran tersebut, syarikat turut memperkenalkan CUCKOO Dream Fund berjumlah RM100,000 bagi memperkasa bakat kreatif generasi baharu. – UTUSAN










