PUTRAJAYA: Pelakon, Azar Azmi mengakui tidak menyangka dirinya masih mempunyai ruang untuk berkarya meskipun namanya terpalit dengan kontroversi sebelum ini.
Menurut Azar atau Azar Ameerah Azmi, 37, dia sedar kontroversi itu secara tidak langsung telah mencemarkan imejnya, namun dirinya menganggap peluang yang dimiliki kini sebagai rezeki untuk anak-anaknya.
“Sekarang ini, saya tidak sangka selepas apa yang sudah terjadi saya fikir orang sudah tidak sukakan saya kerana perkara yang berlaku itu sangat buruk.
“Tetapi Alhamdulillah, satu persatu rezeki itu datang. Mungkin apa yang saya dapat hari ini adalah rezeki anak-anak. Saya menumpang rezeki mereka saja,” katanya.
Muncul buat pertama kali menerusi drama Bulan Henti Bicara selepas tujuh tahun tidak aktif, Azar bagaimanapun mengakui dirinya kekok untuk beraksi di hadapan kamera.
“Pada mulanya, terasa kekok mahu mula berlakon semula sebab lama sangat tinggalkannya. Tapi Alhamdulillah, saya dibantu oleh pasukan pelakon, pengarah, pembantu pengarah dan semua kru-kru.
“Pengurus saya pun banyak bagi nasihat apa yang perlu dan tenangkan saya. Yang penting, apa yang dia pesan adalah persiapan. Itu yang buat perjalanan kita berjalan lancar,” katanya.
Azar yang turut terimbau momen dirinya menitiskan air mata ketika pertama kali menjejakkan kaki ke lokasi penggambaran sempat meluahkan rasa bersyukur kerana memberinya peluang untuk kembali berkarya.
“Sewaktu menjejakkan kaki ke lokasi penggambaran, apa yang saya fikir adalah sama ada masih relevan atau tidak. Saya fikir waktu itu, tak sangka saya masih ada ruang dan peluang dalam industri.
“Lima ke tujuh tahun itu tempoh yang lama. Mustahillah saya tidak rindu untuk bekerja dan berkarya semula. Bila ada peluang itu, saya rasa terharu sebab diberi peluang dan kepercayaan untuk saya memegang tanggungjawab itu,” ujarnya.
Selain Azar, drama adaptasi novel arahan Eyra Rahman itu turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Ezzanie Jasny, Azhan Rani, Ali Reza, Farah Ahmad dan ramai lagi.










