PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Melodi, Ain Edruce, 35, enggan anak-anaknya, Soraya dan Shaziman membesarkan dengan mempelajari perkataan -perkataan yang kasar dan biadab.
Menurut Ain, anak-anak adalah cerminan ibu bapa oleh demikian perlu dilindungi dengan cara percakapan yang lebih beradab.
“Saya sebenarnya kena sediakan mental anak-anak saya yang bahawasanya mereka mungkin akan terpengaruh dengan perkataan-perkataan buruk ini dari kawan-kawan sekolah.
“Saya akan marah anak saya kalau mereka menggunakan perkataan yang tak sepatutnya. Contoh perkataan bosan (boring) yang membawa maksud lain apabila dituturkan dengan cara yang salah.
“Saya cuma nak anak saya tidak bercakap kasar. Dalam kita melatih anak-anak untuk bercakap sopan, kita juga melatih diri sendiri untuk tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya depan mereka,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Melodi Terhangat, semalam.
Mengulas tentang perkongsian di Thread minggu lalu, Ain Edruce meluahkan rasa terkejut dengan bahasa yang digunakan seorang kanak-kanak ketika bercakap dengan Soraya ldi taman permainan baru-baru ini.
“Saya terkejut kerana kanak-kanak itu bercakap agak kasar, menyuruh Soraya menggunakan otak ketika melalui kawasan riadah tersebut.
“Budak itu masih kecil, tapi sudah menggunakan perkataan sedemikian. Dalam hati saya dari mana dia belajar bercakap begitu.
“Mujur anak saya tidak memahami perkataan itu dan hanya mentertawakannya. Dan saya tidaklah mahu terangkan perkataan itu kerana ianya kedengaran kasar dan tak sesuai digunakan.
“Apa pun saya tak salahkan kanak-kanak itu kerana mungkin dia mendengar cara bertutur orang sekelilingnya atau memang begitu cara budak-budak sekarang berkomunikasi,” ujarnya.










