KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 memperkenalkan Inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat Kebangsaan (PPS Kebangsaan) bagi memperkukuh penyediaan perkhidmatan rangkaian serta aplikasi berkaitan kepentingan keselamatan negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, menerusi pindaan itu, Menteri diberi kuasa mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyokong pelaksanaan Inisiatif PPS Kebangsaan.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan melibatkan penggunaan perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, termasuk menggalakkan pemasangan kemudahan rangkaian serta penyediaan perkhidmatan berkaitan.
“Inisiatif PPS Kebangsaan yang dicadangkan hendaklah mempunyai hubungan dengan penggunaan perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, atau kedua-duanya, melalui galakan pemasangan kemudahan rangkaian dan penyediaan perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi atau kedua-duanya.
“Pendekatan ini memastikan Inisiatif PPS Kebangsaan kekal berlandaskan kerangka Pemberian Perkhidmatan Sejagat yang diperuntukkan di bawah subseksyen 202(1) Akta 588 serta selaras dengan objektif Akta 588 sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 3.
“Justeru, Inisiatif PPS Kebangsaan tersebut tidak memperkenalkan rangka kerja PPS yang baharu, tetapi mengguna pakai rangka kerja PPS sedia ada,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Komunikasi Dan Multimedia (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Nie Ching berkata, sebagai mekanisme semak dan imbang, penentuan berkaitan aspek keselamatan negara dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan akan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selaras dengan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776).
Menurut beliau, pindaan itu akan memberikan asas perundangan lebih jelas kepada MCMC dalam menyokong pelaksanaan Inisiatif PPS Kebangsaan.
Dalam pada itu, katanya, pindaan berkenaan tidak menjejaskan peranan pemegang lesen dalam industri komunikasi dan multimedia.
“Pemegang lesen kekal sebagai pihak penting dalam pelaksanaan Inisiatif PPS Kebangsaan, dengan kriteria pelaksana adalah sama seperti inisiatif PPS sedia ada iaitu daripada kalangan pemegang lesen di bawah Akta 588,” katanya.-UTUSAN










