TAMPIN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Ridzuan Ahmad memohon maaf kepada penyokong Barisan Nasional (BN) sekiranya terdapat tindakan atau pendiriannya sebelum ini yang mengguris hati mereka.
Beliau berkata, kerjasama baharu antara Perikatan Nasional (PN) dan BN diharap dapat membuka lembaran baharu, sekali gus memperkukuh sokongan di peringkat akar umbi.
“Saya dulu daripada UMNO. Jadi, mungkin ada yang terasa hati kerana sebelum ini saya bertanding atas tiket PN dan ketika itu belum bersama BN.
“Saya mohon maaf kepada pengundi sekiranya ada kesalahan atau janji yang tidak dapat saya tunaikan.
“Sebagai bekas ADUN, mungkin ada tindakan saya yang mengguris hati mereka, tetapi hari ini kita berada dalam satu persefahaman dan ikatan baharu,” katanya ketika ditemui di Felda Bukit Rokan, di sini.
Ridzuan yang akan mempertahankan kerusi Gemas itu berkata, persefahaman antara PN dan BN diyakini akan diterjemahkan menerusi sokongan akar umbi, selain menolak kemungkinan berlaku boikot dalam kalangan penyokong kedua-dua pihak.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana gelombang biru akan menawan Gemas dan DUN-DUN di bawah Parlimen Tampin. PN akan membantu BN, BN akan membantu PN.
“Jika sebelum ini saya menang dengan majoriti 3,120 undi, insya-Allah saya yakin majoriti itu akan bertambah dengan sokongan pengundi BN. Begitu juga di DUN lain,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan pada 2023, Ridzuan yang ketika itu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperoleh 11,653 undi, menewaskan calon BN, Abd. Razak Ab. Said dengan majoriti 3,120 undi pada PRN lalu.
PRN kali ini, kerusi DUN Gemas menyaksikan saingan tiga penjuru antara Ridzuan, calon Pakatan Harapan (PH), Siti Aishah Seman @ Othman dan calon Bersatu, Azman Abdullah. – UTUSAN










