RCI Tabung Haji: Abdul Azeez sedia disiasat semula

RCI Tabung Haji: Abdul Azeez sedia disiasat semula

ABDUL Azeez Abdul Rahim (dua dari kiri) ketika membantu Jalaluddin (dua dari kanan) berkempen di Taman Simpang Pertang, Jelebu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) , Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan tiada sebarang salah guna dana atau ‘sakau’ berlaku sepanjang beliau menerajui institusi itu.

Beliau malah bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya perlu disiasat semula.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan laporan RCI itu diumumkan secara berturut-turut ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.

Katanya, laporan RCI yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif itu telah disiapkan sejak penghujung 2022 namun hanya diterbitkan hampir empat tahun kemudian.

“Saya tidak tahu kenapa tiga tahun lapan bulan benda itu tidak dikeluarkan yang tahu hanya Perdana Menteri. Dalam RCI itu sendiri jelas menyatakan laporan tersebut boleh diterbitkan kepada umum.

“Kalau betul saya ‘sakau’, pada 2018 lagi Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah penjarakan saya. Saya ditahan 14 malam dalam lokap dan disiasat habis-habisan termasuk melalui audit forensik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias di Taman Simpang Pertang, Jelebu hari ini.

Abdul Azeez berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2021 turut mengeluarkan surat rasmi yang mengesahkan tiada salah guna kuasa atau penyelewengan dikesan sepanjang beliau menerajui TH.

Katanya, beliau juga telah dipanggil oleh pihak polis sebanyak 11 kali bagi membantu siasatan termasuk audit forensik yang dijalankan sebelum ini.

“Dua minggu lalu saya tanya pihak polis, mereka kata fail ini sudah dikemas untuk disimpan dan hanya menunggu arahan Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

“Kalau nak siasat balik, silakan. Saya orang pertama akan beri kerjasama yang padu dan jitu. Kalau saya curi, saya tanggung. Tetapi jangan ulang ayat ‘sakau’ demi kepentingan politik,” katanya.

Mengulas syor RCI supaya audit forensik dijalankan terhadap transaksi mencurigakan dan pelaburan yang lemah, beliau berkata, perkara itu sebenarnya sudah melalui proses audit forensik dan siasatan terdahulu.

“Audit forensik sudah dibuat sebelum ini. Polis sudah siasat, 11 kali saya hadir. SPRM pula tahan saya 14 malam dalam lokap dan semua perkara telah disiasat.

“Saya tanya polis dua minggu lalu, mereka kata fail ini sudah dikemas untuk disimpan dan hanya menunggu arahan NFA. Itulah yang dimaklumkan kepada saya,” katanya.

Abdul Azeez turut menafikan dakwaan kononnya mempunyai kuasa mutlak dalam membuat keputusan pelaburan ketika menjadi Pengerusi TH.

Sebaliknya, beliau berkata, setiap cadangan perlu melalui panel pelaburan, jawatankuasa pengurusan risiko dan Ahli Lembaga Pengarah sebelum dikemukakan kepada menteri yang bertanggungjawab untuk kelulusan.

“Saya bukan pengerusi eksekutif. Sebulan sekali kami bermesyuarat, pengurusan tertinggi membentangkan kertas kerja dan laporan. Selepas mendapat sokongan panel pelaburan serta pengurusan risiko, barulah ia dibawa kepada menteri untuk kelulusan.

“Rakyat perlu tahu proses itu. Bukan saya boleh buat keputusan seorang diri. Saya hanya mempengerusikan mesyuarat dan membuat keputusan mengikut proses yang ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Azeez meminta pentadbiran sedia ada tidak menafikan rekod pencapaian UMNO dan BN dalam menguruskan TH sejak 1963.

“Janganlah menteri sekarang hendak membodek bos dengan mendakwa zaman mereka yang paling hebat. Selama 15 tahun berturut-turut, termasuk tujuh tahun ketika saya di sana, Tabung Haji diiktiraf sebagai pengurusan haji terbaik di dunia.

“Kita berjaya menghantar lebih 1.4 juta rakyat Malaysia menunaikan haji dengan sistem kebajikan dan kesihatan yang tiada tandingan. Mereka hanya memperkasakan sistem yang sudah ada, jangan pula menidakkan sumbangan kami sebelum ini,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai khususnya pendeposit TH supaya membaca keseluruhan laporan RCI secara objektif sebelum membuat sebarang kesimpulan serta tidak terpengaruh dengan persepsi politik yang boleh mengelirukan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN