KUALA LUMPUR: Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 bukan sekadar kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, sebaliknya ia adalah intervensi strategik dalam memastikan sistem pendidikan negara kekal relevan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, RPM 2026-2035 memperkenalkan lima fokus utama, yang mana dua daripadanya adalah fokus baharu iaitu keluwesan dan kemampanan.
“Keluwesan merujuk kepada keupayaan pendidik menyesuaikan pedagogi mengikut keperluan murid dan perkembangan teknologi, disokong oleh keanjalan tadbir urus pendidikan untuk meningkatkan kecekapan dan akauntabiliti.
“Kemampanan pula adalah usaha melestarikan sistem pendidikan menerusi pembudayaan amalan kemampanan yang merangkumi dimensi alam sekitar, sosial dan ekonomi, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau), meminta kementerian menjelaskan pembaharuan dasar diperkenalkan menerusi RPM 2026 – 2035 berbanding PPPM 2013 – 2025 serta petunjuk prestasi utama yang digunakan bagi mengukur keberkesanan transformasi pendidikan negara sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, terdapat lima sasaran utama digariskan sepanjang tempoh pelaksanaan RPM 2026-2035 termasuk aspek mutu dan pencapaian akademik.
“Murid disasarkan mencapai sekurang-kurangnya gred C bagi keempat-empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah, di samping penguasaan literasi dan numerasi pada akhir Tahap Satu, pencapaian skor setara standard antarabangsa, serta penguasaan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.
“Selain itu, dari aspek penguasaan bahasa dan digital pula, semua murid disasarkan menguasai sekurang-kurangnya kemahiran dwibahasa.
“Seterusnya, dari aspek kesejahteraan sosioemosi dan fizikal, sasaran meliputi pencapaian tahap sosioemosi sejahtera dan adab yang baik dalam kalangan murid, serta sekurang-kurangnya 90 peratus murid Tahap Dua hingga Tingkatan Lima mencapai tahap kecergasan fizikal cergas menerusi ujian SEGAK,” katanya.-UTUSAN










