Pulau Duyung diangkat destinasi warisan maritim

Pulau Duyung diangkat destinasi warisan maritim

PEMBUAT bot, Borhanuddin Syafie (kanan) dan Muhammad Pirdaus Ismail (kiri) melakukan kerja-kerja memasang komponen bot tradisional di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Warisan pembinaan bot tradisional yang sekian lama menjadi identiti Pulau Duyung di sini, diangkat ke tahap lebih tinggi menerusi pembangunan produk pelancongan berasaskan pendidikan (edu-tourism) sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi warisan maritim di Terengganu.

Usaha itu selaras dengan strategi pembangunan pelancongan negeri yang memberi penekanan kepada kluster Seni, Budaya dan Warisan serta Pusat Bandaraya Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, perusahaan pembinaan bot tradisional di Pulau Duyung bukan sahaja mempunyai nilai sejarah, budaya dan kemahiran tinggi, malah ada potensi besar dipulihara serta dibangunkan sebagai produk pelancongan bagi menarik pelawat tempatan dan antarabangsa.

“Bagi merealisasi hasrat itu, beberapa perancangan dikenal pasti termasuk membangunkan Pulau Duyung sebagai destinasi warisan pembinaan bot tradisional dengan memperkukuh identitinya sebagai pusat pembuatan bot kayu tradisional Terengganu.

“Kita juga akan menyediakan bengkel, demonstrasi dan pengalaman interaktif kepada pengunjung bagi memperlihat proses pembinaan bot, penghasilan replika bot kayu, seni ukiran serta teknik pertukangan tradisional yang dikendalikan tukang bot tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut merancang memperkenal pakej lawatan pendidikan yang memberi peluang kepada pelajar, institusi pengajian tinggi, penyelidik dan pelancong domestik serta antarabangsa mempelajari sejarah, teknologi dan proses pembinaan bot tradisional secara langsung daripada pengusaha serta tukang bot berpengalaman.

Selain itu, katanya, warisan pembinaan bot tradisional Pulau Duyung dipromosi secara lebih meluas dalam Kempen Visit Truly Terengganu 2027 sebagai antara produk pelancongan ikonik negeri, di samping tarikan lain di sekitar Kuala Terengganu.

Razali berkata, penglibatan komuniti setempat dan pengusaha bot akan diperkasa melalui penyediaan pakej lawatan, jualan kraftangan, cenderamata dan aktiviti kebudayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN