PERMATANG PAUH: Politeknik Seberang Perai (PSP) mahu menjadi sebuah pusat rujukan bagi latihan dan konsultasi bidang logistik dan halal kepada pemain industri dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Pengarah PSP, Mohd. Ruzi Hamzah berkata, ketika ini, institusi tersebut telah menerima sokongan serta dokongan penuh daripada semua pihak yang terlibat bagi merealisasikan impian itu.
“Harapan saya ialah mahu melihat PSP menyokong dasar kerajaan iaitu untuk menjadi sebuah hab halal di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Dalam hal ini, kerajaan telah pun menyediakan melalui kerjasama platform dengan industri-industri halal yang terlibat manakala kami di politeknik pula menjadi penyedia latihan yang bersesuaian dengan keperluan industri itu sendiri.
“Jadi, secara tidak langsung, kami telah melengkapi apa yang industri itu perlukan ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
PSP sebelum ini telah dipilih sebagai institusi perintis dalam pembangunan bakat profesional bagi sektor logistik halal negara menerusi penawaran program diploma profesional pertama iaitu Diploma Profesional Teknologi Logistik dan Halal (DPTLH) di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Majlis peluncuran program diploma profesional itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) di PSP, baru-baru ini.
Mengulas mengenai DPTLH, Mohd. Ruzi berkata, pemilihan PSP sebagai institusi perintis amat bertepatan kerana secara kebetulannya, bidang utama di PSP ketika ini adalah logistik dan kebanyakan pelajarnya juga mengikuti kursus yang berkaitan iaitu Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan.
Justeru, beliau berkata, bagi membentuk satu sinergi baharu antara logistik dan halal termasuk untuk dijadikan sebagai silibus dalam program DPTLH, PSP telah berkolaborasi dengan 31 agensi serta rakan strategik industri yang berkaitan.
“Kita siapkan kurikulum terlebih dahulu sebelum berbincang dengan pihak industri mengenai keperluan sebenar mereka kerana kita tidak mahu program ini dibangunkan tanpa penglibatan dan maklum balas daripada pihak industri,” katanya.
Disokong oleh Halal and Logistics Technology Excellence Centre (Haltec) sebagai pusat kecemerlangan dalam pembangunan latihan, inovasi dan kolaborasi industri, DPTLH merangkumi empat modul utama iaitu Smart Warehouse, Digital Apps Development, Smart Drone Technology dan Halal Executive.
Menerusi program yang diadakan pada setiap hujung minggu itu juga, peserta berpeluang memperoleh sijil kompetensi industri yang dikeluarkan oleh rakan strategik bagi meningkatkan kompetensi dan kebolehpasaran mereka dalam pasaran pekerjaan.-UTUSAN










