Proton buka 10 cawangan baharu dalam 10 hari - Utusan Malaysia

Proton buka 10 cawangan baharu dalam 10 hari

ABDUL Rashid Musa (tengah) memotong riben sempena pembukaan Bilik Pameran Indah Sari di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton memperkukuh lagi rangkaian jualan dan selepas jualannya menerusi pembukaan rasmi 10 cawangan baharu Proton dan Proton e.MAS dalam tempoh hanya 10 hari di seluruh negara.

Pembukaan yang melibatkan empat cawangan Proton dan enam cawangan Proton e.MAS itu merangkumi wilayah Tengah, Utara, Selatan, Pantai Timur dan Malaysia Timur dengan pelaburan pengedar berjumlah RM15.9 juta serta mewujudkan 210 peluang pekerjaan baharu.

Sehingga Jun 2026, Proton memiliki 195 cawangan jualan termasuk 178 pusat 3S dan 4S bersepadu, manakala Proton e.MAS mempunyai 58 bilik pameran, 45 pusat servis dan 10 pusat Body & Paint, sekali gus menjadikannya pengeluar automotif dengan rangkaian terbesar di Malaysia untuk menyokong pelanggan model ICE, EV dan PHEV.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, setiap cawangan baharu berperanan sebagai penghubung untuk mengeratkan hubungan antara syarikat dan pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

“Kemudahan kepada pelanggan bukan sekadar bergantung kepada lokasi yang dekat, tetapi juga kualiti perkhidmatan. Matlamat kami bukan hanya menambah bilangan cawangan, sebaliknya memastikan setiap cawangan mampu memenuhi keperluan pelanggan serta menawarkan pengalaman yang profesional.

“Tidak kira sama ada pelanggan memilih model enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid plug-in (PHEV) atau kenderaan elektrik (EV), mereka boleh yakin Proton mempunyai rangkaian, kepakaran dan kemudahan untuk menyokong mereka,” katanya dalam kenyataan.

Selain peluasan rangkaian, Proton turut mempertingkatkan pengalaman pelanggan menerusi pengenalan identiti korporat baharu serta pendekatan selepas jualan Faster & Better berpandukan tiga komitmen utama iaitu FS90 Fast Service, 1 Day Service Delivery dan sasaran Work-In-Progress (WIP) tidak melebihi tiga hari.

Bagi penambahan cawangan baharu di Wilayah Tengah dan Selatan, ia melibatkan premis AJG Mobility di Pavilion Bukit Jalil, Cahaya Automotif di Kota Damansara, MBf EV Auto di Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur, manakala di Johor pula merangkumi Juara Mulia di Adda Heights serta Promas EV di Batu Pahat.

Rangkaian di Pantai Timur dan Utara pula diperkukuhkan menerusi pembukaan Dunia Motors di Temerloh, Pahang, Indah Sari di Kuala Nerus, Terengganu, GB Auto di Kulim, Kedah dan BH Autotech di Taiping, Perak. 

Bagi pasaran Malaysia Timur, cawangan baharu yang dibuka ialah Supernau di Batu Kawa, Sarawak. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN