ProppyApp tampil visi AI dipercayai - Utusan Malaysia

ProppyApp tampil visi AI dipercayai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ProppyApp memperkenalkan visi Ekosistem Awan AI Dipercayai (Trusted AI Cloud Ecosystem) yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI), identiti digital dan infrastruktur digital selamat dalam menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat itu serta ekonomi digital Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif ProppyApp, Dr. Max Chen berkata, syarikat itu menyasarkan pembangunan Awan AI Dipercayai yang dikuasakan teknologi proprietari, harta intelek, tanda dagangan berdaftar serta integrasi dengan platform MyDigital ID kebangsaan Malaysia.

Katanya, AI dipercayai, identiti digital dan infrastruktur awan selamat akan menjadi asas kepada perkhidmatan digital generasi akan datang.

“Perkara ini akan membolehkan kerajaan, perniagaan dan masyarakat beroperasi dengan lebih yakin, selamat dan saling berhubung dalam era AI,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika Pra-Pelancaran Sukuk ProppyApp yang turut disempurnakan Pengerusi ProppyApp, Tunku Datuk Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Tek Securities Limited, Datuk Prof. Dr. Hng Paik San berkata, Sukuk memainkan peranan penting sebagai instrumen strategik pasaran modal untuk perniagaan inovatif.

Beliau berkata, Sukuk menggabungkan tadbir urus Syariah yang kukuh, ketelusan dan prinsip kemampanan.

Dalam pada itu, wakil Labuan Financial Services Authority, Jaafar Rihan berkata, teknologi mencipta peluang baharu, namun kepercayaan menjadi asas penting bagi membolehkan pasaran berkembang.

Katanya, inovasi perlu disokong pengawasan kawal selia yang kukuh, tadbir urus Syariah, pengurusan risiko berkesan, perlindungan pelabur dan integriti pasaran.

Pengasas dan Ketua Arkitek ProppyApp, Lee Willson pula memperkenalkan visi seni bina Ekosistem Awan AI Dipercayai yang menggabungkan privasi, keselamatan dan kepercayaan dalam interaksi AI.

Menurutnya, seni bina berkenaan dibangunkan berasaskan identiti digital dipercayai, perkhidmatan AI, pengurusan organisasi, perdagangan digital, keupayaan pembayaran dan kecerdasan data bagi menyokong ekosistem berkuasa AI yang selamat serta boleh saling beroperasi.

Beliau turut memperkenalkan konsep ‘Kedaulatan Komersial’ (Commercial Sovereignty) yang menggalakkan organisasi mengekalkan pemilikan identiti digital, hubungan pelanggan, data dan keupayaan AI berbanding bergantung sepenuhnya kepada platform digital pihak ketiga.

Acara berkenaan turut mengetengahkan peranan pembiayaan pasaran modal dalam menyokong syarikat teknologi berteraskan inovasi serta kepentingan AI dipercayai, identiti digital dan infrastruktur digital selamat sebagai asas ekonomi digital masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN