KUALA LUMPUR: Pengundi Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berdepan pilihan sama ada mahu mengekalkan kerajaan negeri sedia ada yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan selari dengan Kerajaan Persekutuan, atau memberikan mandat kepada gabungan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban berkata, PH berpendapat kerajaan negeri pimpinannya mempunyai rekod pentadbiran yang stabil serta berpengalaman mentadbir negeri dengan memberi perhatian kepada kebajikan rakyat pelbagai kaum, termasuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan kos sara hidup.
Dalam masa sama, katanya, gabungan BN-PN pula menawarkan pilihan pentadbiran yang berbeza kepada pengundi.
“Namun, terdapat pandangan bahawa kerjasama kedua-dua parti itu masih menjadi perhatian berikutan beberapa perbezaan pendirian yang timbul dalam kalangan pemimpinnya sepanjang tempoh berkempen.
“PH turut menawarkan manifesto yang mengandungi 10 komitmen utama, antaranya mengekalkan pentadbiran yang stabil, bersih dan mesra rakyat, memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR), mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi serta menyediakan 20,000 rumah mampu milik,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Misrinah berkata, sepanjang kempen, perhatian turut tertumpu kepada beberapa kenyataan pemimpin BN dan PN, termasuk saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberi tumpuan kepada Kedah dan tidak perlu berkempen di Negeri Sembilan.
Katanya, kenyataan itu dibuat susulan polemik membabitkan beberapa ucapan Muhammad Sanusi yang mencetuskan perdebatan berkaitan isu kaum dan sensitiviti masyarakat majmuk.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut mengulas cadangan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang menamakan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-16.
“Keputusan pengundi Negeri Sembilan dilihat bukan sahaja menentukan pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang, malah dijangka memberi isyarat terhadap landskap politik negara menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Justeru, pengundi dijangka membuat pertimbangan berdasarkan rekod pentadbiran, tawaran manifesto serta kestabilan politik yang diyakini mampu membawa manfaat kepada negeri dan rakyat,” katanya. – UTUSAN










