PRN Johor: Undi awal capai 94.96 peratus

PRN Johor: Undi awal capai 94.49 peratus

PETUGAS SPR membawa peti undi selepas waktu undi awal ditutup pukul 5 petang di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Kampung Pengkalan Rinting, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 94.49 peratus undi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang berakhir pada pukul 5 petang hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, jumlah itu melibatkan seramai 19,471 pengundi daripada keseluruhan 20,607 pengundi awal yang berdaftar.

Katanya, mereka terdiri daripada 8,544 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 12,063 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan (PGA) dengan pasangan masing-masing.

“Seramai 7,960 orang anggota tentera dan pasangan serta 11,511 orang anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) telah mengundi awal dalam PRU Dewan Negeri Johor Ke-16 ini.

“Sebanyak 62 pusat pengundian awal telah dibuka di seluruh Johor dan 29 pusat pengundian ini ditutup pada pukul 12.00 tengah hari; lima pusat mengundi ditutup pada pukul 2.00 petang dan selebihnya iaitu 28 pusat mengundi ditutup pada pukul 5 petang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

Terdahulu, pada sidang media di Dewan Mahkota, Kem Mahkota Kluang, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memberitahu kesemua 62 pusat mengundi awal yang dibuka bermula pukul 8 pagi ditutup secara berperingkat mengikut kawasan serta jumlah pemilih berdaftar yang ditetapkan.

“Sebanyak 29 pusat mengundi awal mula ditutup pada pukul 12 tengah hari, lima pusat mengundi awal ditutup pada pukul 2 petang manakala baki 28 lagi ditutup pada pukul 5 petang.

“Semua peti undi awal akan disimpan di balai polis sebelum proses penjumlahan rasmi undi dijalankan pada hari pengundian biasa, Sabtu ini,” katanya.

PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 2,727,926 pemilih layak mengundi di 1,140 pusat mengundi yang dibuka di seluruh negeri, dengan 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN