KUALA TERENGGANU: Bermula hari ini, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperketat pemantauan terhadap kontraktor yang dilantik bagi memastikan operasi kutipan sampah termasuk di Pulau Redang, dekat sini dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, tindakan tegas termasuk pemotongan bayaran dikenakan sekiranya kontraktor gagal mematuhi jadual kutipan.
“Jika kegagalan berterusan, MBKT tidak teragak-agak menamatkan lantikan kontraktor berkenaan bagi memastikan perkhidmatan kutipan sampah tidak terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Lizan berkata, pihaknya terus memantau kerja-kerja pembersihan oleh kontraktor yang dilantik supaya isu lambakan sampah dapat diatasi.
Sementara itu, beliau berkata, semua 20 tan metrik sampah di Pulau Redang dijangka dapat dikutip dan dibawa keluar menerusi operasi khas yang dipertingkatkan.
Menurutnya, sebuah tongkang bergerak ke Pulau Redang pagi semalam bagi mengangkut baki sampah sebelum dilupuskan di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Ikan, dekat sini.
“Sehingga kini, hampir 13 tan metrik sampah dikutip daripada anggaran keseluruhan 20 tan metrik manakala baki sekitar 10 tan metrik akan diselesaikan petang ini (semalam).
“Sebuah tongkang dihantar ke Pulau Redang bagi menyelesaikan operasi pengangkutan baki sampah di pulau itu,” katanya. – UTUSAN










