Polis bongkar sindiket penipuan dalam talian, serbu kondo mewah

Polis bongkar sindiket penipuan dalam talian, serbu kondo mewah

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis berjaya membongkar satu sindiket yang menjalankan kegiatan penipuan dalam talian susulan serbuan ke atas sebuah kondominium mewah di Tanjung Bungah di sini, kira-kira pukul 4.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam serbuan itu, seramai lapan warga asing termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dengan sindiket tersebut.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, kondominium itu telah dijadikan sebagai pusat operasi sindiket terbabit dan polis turut merampas pelbagai peralatan komputer dan telekomunikasi yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

“Hasil siasatan awal, sindiket ini dipercayai menjalankan aktiviti pusat panggilan penipuan dengan menawarkan pakej pelancongan ke Jepun secara dalam talian kepada mangsa-mangsa khususnya dari China dan Taiwan,” katanya di sini, hari ini.

Jelas Abdul Rozak, sindiket juga dipercayai menyasarkan warga asing yang berada di luar negara dengan menawarkan pakej pelancongan secara dalam talian sebelum memperdaya mangsa untuk membuat pembayaran.

“Kesemua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana melakukan pakatan jenayah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN