PORT DICKSON: Kementerian Kewangan meluluskan peruntukkan bantuan tambahan sebanyak RM2 juta sempena sambutan Hari Pahlawan tahun ini sebagai usaha memperkasa kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan peruntukan itu diluluskan Kementerian Kewangan kerana prestasi pengurusan yang baik, sekali gus meningkatkan bantuan yang lazimnya disalurkan sempena sambutan berkenaan.
Menurutnya, bantuan tambahan itu mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap jasa dan pengorbanan veteran yang telah berkhidmat mempertahankan negara.
“Sempena Hari Pahlawan pada 31 Julai ini, saya telah meminta Kementerian Kewangan memberi bantuan tambahan RM2 juta.
“Kerajaan menghargai jasa dan pengorbanan veteran yang telah berkhidmat mempertahankan negara.
“Soal kebajikan mereka akan terus diberi perhatian dan jika ada ruang, kita akan melihat lagi penambahbaikan ketika pembentangan Belanjawan nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pahlawan 2026 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak RM844 juta diluluskan tahun ini bagi membaik pulih serta membangunkan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara
Ia termasuk projek pembinaan 1,300 unit rumah baharu di Kem Syed Sirajuddin, Gemas yang dijangka siap tahun depan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima pelbagai laporan mengenai keadaan kediaman anggota yang tidak diselenggara sehingga mencecah 20 hingga 25 tahun, termasuk kerosakan pintu, lampu dan kemudahan asas lain.
“Ini antara peruntukan terbesar yang pernah disalurkan kerajaan bagi kebajikan anggota tentera. Mereka berkhidmat mempertahankan negara dan sewajarnya mempunyai kediaman yang selesa untuk keluarga,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut meluluskan RM300,000 bagi kerja-kerja penambahbaikan Institut Latihan Islam Malaysia (ILMI), RM1 juta bagi penyelenggaraan Masjid Kariah Kem Segenting, Masjid Depoh REMD serta lima surau di bawah MKPLDTD.
Katanya, sebanyak RM3 juta lagi diluluskan bagi kerja-kerja penyelenggaraan sekolah Angkatan Tentera Malaysia di Negeri Sembilan, termasuk Sekolah Kebangsaan Sunggala dan Sekolah Kebangsaan Sri Rusa di Port Dickson.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan turut melaksanakan semakan menyeluruh terhadap sistem saraan penjawat awam sejak 2023 yang membawa kepada kenaikan gaji tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam.
Menurutnya, kadar kenaikan gaji minimum ialah 15 peratus, manakala pegawai kanan menerima kenaikan sekitar tujuh peratus dan terdapat kumpulan penjawat awam berpendapatan rendah yang menikmati kenaikan sehingga 30 peratus.
“Sebab itu sejak 2023 kita buat kajian menyeluruh dan mengumumkan kenaikan gaji paling tinggi dalam sejarah. Yang berpangkat rendah ada yang naik sehingga 30 peratus,” katanya. – UTUSAN










