PH perlu 24 kerusi, bentuk kerajaan negeri majoriti dua pertiga

PH perlu menang 24 kerusi, bentuk kerajaan negeri majoriti dua pertiga

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jumlah kerusi sekitar 22 hingga 24 Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi sasaran untuk dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.

Jumlah berkenaan perlu dicapai oleh parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan supaya kerajaan yang dibentuk kelak tidak goyah seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, antara punca beliau memilih bertanding di DUN Linggi adalah supaya PH dapat mencapai jumlah kerusi yang disifatkannya sebagai lebih kukuh dan selesa.

Katanya, strategi itu juga bertujuan agar PH dapat meluaskan kawasan yang dimenangi iaitu di luar bandar berbanding kerusi bandar dan pinggir bandar yang menjadi kubu kuat selama ini.

“Kerajaan yang dibentuk mesti stabil, antara faktor saya perlu bertanding di Linggi adalah untuk pastikan bahawa PH perlukan sejumlah kerusi yang agak selesa.

“Maksud selesa itu adalah sekitar 22 hingga 24 kerusi, kami sedia maklum ini bukannya mudah tetapi kami kena bekerja ke arah itu, bukan mustahil untuk kami terjemahkan dalam pilihan raya kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, PH sentiasa mempunyai potensi untuk menang di kerusi-kerusi luar bandar kerana sokongan itu sentiasa ada.

“Kerusi tradisi PH adalah di bandar dan pinggir bandar. Tetapi apabila saya berada di sini (Linggi) saya dapati sokongan itu ada cuma memerlukan pimpinan utama untuk turun.

“Langkah ini boleh memberikan impak kepada sokongan yang baik daripada pengundi dan ia memberikan keyakinan kepada pengundi pada masa hadapan.

“Alhamdulillah setakat ini sambutan yang diterima saya di Linggi juga cukup baik. Kawasan ini bukan satu ‘arah’ sahaja, pelbagai, ada nelayan dan juga petani dan sokongan itu ada,” katanya.

Tambah beliau yang juga Menteri Besar, jumlah itu juga boleh dicapai PH jika pengundi memahami tentang keperluan membentuk kerajaan yang stabil bagi meneruskan pelaksanaan dan perancangan pembangunan yang dilaksanakan.

“Apa yang telah kami lakukan menunjukkan potensi yang positif dan rakyat nampak apa yang telah kami laksanakan ini. Saya tidak nampak peluang itu tertutup terus kepada PH, “ katanya.

Aminuddin bagaimanapun berkata, ketika ini masih terlalu awal untuk melihat arah sokongan pengundi di Negeri Sembilan namun ia akan jelas ketika dua atau tiga hari menjelang hari pengundian.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 23 daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, PH memerlukan mandat lebih besar bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri yang stabil.

Selepas PRN 2023, PH memenangi sebanyak 17 kerusi DUN dan bersama Barisan Nasional (BN) yang memenangi 14 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, manakala baki lima lagi kerusi dimenangi Perikatan Nasional (BN).

Bagaimanapun pada 26 April lalu, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN telah membuat keputusan menarik sokongan daripada kerajaan negeri.

Selain DUN Linggi, beberapa kerusi lain juga dilihat berpotensi untuk dimenangi oleh PH dalam PRN kali ini iaitu Labu, Paroi, Lenggeng, Jeram Padang, Bagan Pinang, Sungai Lui dan beberapa kerusi lain di Parlimen Kuala Pilah.

Sebanyak 19 kerusi diperlukan bagi membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan majori mudah manakala 24 kerusi bagi membentuk majoriti dua pertiga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN