PH Johor tawar skim perlindungan kesihatan, 80,000 rumah mampu milik

PH Johor tawar skim perlindungan kesihatan, 80,000 rumah mampu milik

AMINOLHUDA Hassan, Suhaizan Kaiat, Dr. Maszlee Malik, Andrew Chen Kah Eng, Teo Nie Ching dan Dr. Zaliha Mustafa menunjukkan manifesto PH sempena Peluncuran Manifesto Harapan Johor Untuk Semua sempena PRN Johor ke 16 di Johor Bahru, Johor hari ini.- UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan 10 tawaran Johor Untuk Semua sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, antaranya tawaran itu termasuklah memperkenalkan Skim Kesihatan Johor yang memberikan perlindungan sehingga RM100,000 setahun kepada yang layak.

Katanya, skim itu sekali gus menghidupkan semula Kad Sihat Johor yang pernah diperkenalkan selepas PRN Johor 2018 dengan memberi manfaat buat 500,000 rakyat khususnya golongan B40, M40 dan orang kurang upaya (OKU).

“PH Johor juga merancang untuk membina 80,000 rumah mampu milik dalam lima tahun dengan 16,000 unit akan dibina setahun. Menerusi tawaran perumahan itu, PH akan beri keutamaan kepada keluarga muda dan pekerja tempatan selain mempergiat pembinaan rumah generasi kedua Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Lima Tawaran Johor Untuk Semua pada Majlis Peluncuran Manifesto PH Johor di sini hari ini.

Suhaizan berkata, PH juga akan memperuntukkan RM500 juta dana anak muda Johor yang memberi manfaat kepada 200,000 anak muda antaranya bertujuan mengadakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Premium Johor, latihan kecerdasan buatan (AI), robotik dan digital, Dana Usahawan Muda Johor serta program Jaminan Pekerjaan Pertama.

“Kami juga berhasrat untuk menyediakan bantuan rumah pertama anak Johor berjumlah RM8,000 kepada 50,000 keluarga muda untuk menerima manfaat.

Di bawah tawaran berasaskan pendidikan, kami sasarkan 100 peratus sekolah mendapat internet berkelajuan tinggi menjelang 2030, makmal AI dan robotik serta perpustakaan digital di semua daerah serta kerjasama strategik antara sekolah, TVET, institusi pengajian tinggi dengan industri,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha DAP Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, PH juga turut memperuntukkan RM1 bilion dana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Usahawan Johor yang memberi manfaat kepada 50,000 usahawan.

Katanya, menerusi tawaran itu, pihaknya menyasarkan 20,000 perniagaan didigitalkan termasuk menyediakan program eksport Johor ke pasaran ASEAN serta melahirkan 10,000 usahawan baharu.

“PH juga berikrar untuk mewujudkan 250,000 pekerjaan bergaji tinggi dan bermaruah dalam tempoh lima tahun dengan gaji median meningkat sekurang-kurangnya 30 peratus.

“KiANU juga sasarkan 10,000 pekerja Johor mengikuti program peningkatan kemahiran dalam AI, pangkalan data, automasi, logistik pintar, pembuatan dan pertanian moden,” katanya ketika mengumumkan lagi lima tawaran Manifesto PH.

Tambah beliau, PH berikrar mengurangkan sehingga 50 peratus masa menunggu di pintu masuk Malaysia-Singapura dengan memberi tumpuan kepada integrasi sistem pengangkutan, penggunaan teknologi pintar dan pengurusan sempadan yang lebih cekap.

Katanya, agenda itu akan diperkukuhkan melalui penyepaduan RTS, ETS, Bas.My, KTM Komuter Selatan serta sistem pengangkutan negeri bagi membentuk rangkaian mobiliti yang lebih lancar untuk pengguna rentas sempadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN