PORT DICKSON: Dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak memperjuangkan kepentingan masyarakat Melayu adalah tidak berasas dan boleh disanggah berdasarkan prestasi serta komitmen yang ditunjukkan parti itu di setiap kawasan yang dimenanginya di Negeri Sembilan.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, komitmen itu turut dibuktikan menerusi tindakan PH meletakkan calon di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
“Kami yakin membawa suara semua rakyat tanpa mengira kaum, termasuk orang Melayu, Cina dan India. Kami telah membuktikannya apabila diberi mandat untuk menang di kawasan majoriti Melayu.
“Orang Melayu tidak perlu takut untuk memberi peluang kepada kami memperoleh lebih banyak kerusi di kawasan Melayu. Saya yakin ia akan memberi manfaat yang lebih besar kepada kerajaan negeri, sekali gus membolehkan sebuah kerajaan yang aman dan stabil dibentuk selepas PRN ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Calon PH bagi kerusi DUN Linggi itu berkata, masyarakat di negeri ini juga memahami bahawa PH dianggotai pemimpin Melayu dan Islam yang bertanding di kawasan sama dengan calon Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN).
“Kami bersaing dengan UMNO dan Pas. Namun apabila mereka mendakwa kami tidak mengangkat martabat orang Melayu atau menjadi boneka kepada DAP, itu hanyalah satu tuduhan.
“Kami bertanding di semua kawasan kerana yakin mewakili kepentingan seluruh rakyat, sama ada Melayu, Cina mahupun India.
“BN pula hanya bertanding di 25 kerusi. Ini menunjukkan mereka tidak bertanding di semua kerusi yang mempunyai pengundi Melayu kerana sebahagiannya diserahkan kepada Pas. Rakyat perlu melihat perkara ini secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, statusnya sebagai satu-satunya calon Menteri Besar daripada PH tidak memberikan tekanan sepanjang kempen PRN, sebaliknya beliau menganggapnya sebagai satu amanah yang perlu dipikul.
“Saya sudah menjadi Menteri Besar selama lebih tujuh tahun. Apa yang penting, ini adalah amanah yang perlu saya galas. Ia bukan satu beban, sebaliknya tanggungjawab yang mesti ditunaikan, termasuk memastikan pasukan saya mencapai kemenangan dalam pilihan raya kali ini,” katanya.
Menjelang hari pengundian esok, beliau berharap semua pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing dan memilih kerajaan yang terbukti mempunyai rekod pentadbiran dan prestasi yang baik.
“Saya berharap anak-anak muda yang bekerja, belajar di universiti dan kolej di luar Negeri Sembilan dapat pulang untuk mengundi.
“Saya melihat golongan muda lebih terbuka dan tidak lagi terikat dengan pemikiran yang hanya melihat politik berasaskan kaum. Saya berharap keadaan ini memberi kelebihan kepada kami, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN










