KUALA LUMPUR: Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kini memperkenalkan perkhidmatan sulh fast track yang membolehkan pertikaian kekeluargaan dan kes mal diselesaikan dalam masa sehari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif terbaharu itu terbuka kepada pasangan yang berhasrat mencari jalan perdamaian, meskipun tuntutan mereka belum didaftarkan secara rasmi di kaunter mahkamah.
Menurutnya, pegawai sulh akan membantu menyediakan perjanjian persetujuan antara kedua-dua pihak untuk diendorskan terus di hadapan hakim.
“Impaknya, kes tersebut akan diselesaikan pada hari yang sama ketika tuntutan berkenaan difailkan di Mahkamah.
“Ia bukan sahaja menjimatkan masa, malah memberi kesan positif kepada kesihatan mental pihak yang bertikai serta anak-anak yang terlibat kerana konflik tidak berlarutan,” katanya selepas merasmikan Pusat Sulh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Zulkifli berkata, penjenamaan semula Seksyen Sulh kepada Pusat Sulh itu merupakan yang pertama di negara ini.
Beliau berkata, pusat itu akan merangkumi lima teras utama iaitu Majlis Sulh, timbang tara hakam, pendamaian dan islah, khidmat nasihat dan mediasi serta analitik strategik.
“Pusat ini juga diwujudkan sebagai hub pentadbiran dan pengurusan perkhidmatan hakam di Wilayah Persekutuan, termasuklah urusan pelantikan hakam.
“Dengan kewujudan hakam yang lebih tersusun dan berkemahiran, konflik yang berlaku dalam rumahtangga dapat dianalisis dengan lebih baik,” katanya.
Mengulas mengenai keberkesanan kaedah perdamaian tersebut, Zulkifli berkata, sebanyak 39,829 kes atau 88 peratus kes sulh yang didaftarkan di seluruh negara berjaya diselesaikan bagi tempoh 2022 hingga 2025.
“Malah bagi tahun 2024 sahaja, kadar penyelesaian mencatatkan angka yang lebih tinggi iaitu hampir 90 peratus.
“Statistik menunjukkan tahap pematuhan suami atau bapa terhadap perintah mahkamah adalah jauh lebih tinggi apabila ia dicapai melalui persetujuan bersama ” katanya.
Tambahnya, dengan penjenamaan semula ini, dijangkakan berlakunya pertambahan pelanggan yang lebih ketara di mahkamah.
“Oleh itu, pusat ini akan menyediakan perkhidmatan digital dan perbincangan secara atas talian untuk memudahkan masyarakat mendapatkan khidmat nasihat berkenaan kes di mahkamah.
“Malah, penambahbaikan sistem pengurusan data, penyelidikan dan institutional memory digembleng dari semasa ke semasa bagi mendepani peningkatan kes,” katanya. – UTUSAN










