KUANTAN: Kekuatan Angkatan Masa Hadapan yang menjadi teras transformasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak dapat direalisasikan tanpa kesediaan setiap anggota untuk terus meningkatkan keupayaan diri dan menyesuaikan perubahan mengikut keperluan pertahanan semasa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha memperkasa anggota itu juga perlu disokong oleh sebuah negara yang stabil dan rakyat yang bersatu padu.
“Angkatan Tentera Malaysia tidak boleh bergerak dengan berkesan dalam keadaan negara tidak stabil dan rakyat huru-hara. Berpecah tidak ada perpaduan dan kesepaduan. Jadi, anggota-anggota mesti bersedia belajar meningkatkan keupayaan diri dan berubah mengikut keperluan pertahanan semasa.
“Kekuatan Angkatan Masa Hadapan ini bukan hanya pada aset dan teknologi tetapi melihat kepada anggota-anggota itu sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Edisi Pantai Timur di Dewan Sri Angkasa, Pangkalan Udara Kuantan, di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, landskap keselamatan negara ketika ini semakin kompleks dan sukar dijangka apabila ancaman tidak lagi terbatas kepada peperangan konvensional, sebaliknya merangkumi pelbagai bentuk cabaran baharu.
Menurutnya, situasi itu menuntut ATM membangunkan Angkatan Masa Hadapan yang lebih moden, pintar, bersepadu dan sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi apa jua bentuk ancaman.
Beliau berkata, konsep itu bukan sahaja menumpukan kepada pemodenan aset pertahanan, malah memberi penekanan kepada pembangunan modal insan yang berpengetahuan, kompeten serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran keselamatan semasa.
“Apabila kita bercakap mengenai Angkatan Masa Hadapan, anggota ATM sendiri merupakan kekuatan utama yang akan menentukan kejayaan agenda transformasi itu,” katanya. – UTUSAN










