SEREMBAN: Pengundi dalam kalangan bukan Melayu tidak perlu gusar dengan pembentukan persefahaman di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada keperluan untuk pengundi bukan Melayu berasa bimbang termasuk isu penglibatan Pas kerana BN masih lagi mengawal persefahaman itu.
“Jangan bimbang kami (BN) bertanding 25 kerusi, Pas lima kerusi, enam kerusi Wawasan, itupun empat kerusi bukan Melayu, tiada keperluan untuk berasa gusar kepada perkara ini.
“Ia cuma momokan propaganda pihak sebelah, iaitu persefahaman BN-PN ini akan menakutkan bukan Melayu. Lagipun Pas sudah katakan mereka membantu untuk bertapak dan tidak berminat untuk menjadi MB dan lain-lain,” katanya.
Beliau yang juga calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra Sepak Penalti Tertutup Anjuran Pemuda Rantau di Bandar Ekar di sini.
Mohamad dalam pada itu berkata, penerimaan pengundi terhadap BN dalam PRN kali ini adalah lebih baik berbanding semasa tahun 2023 iaitu Ketika bersama Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, persefahaman taktikal yang dibentuk dengan PN diterima dengan amat baik terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu yang tidak mahu berlakunya pertembungan di antara parti-parti Melayu.
“Kami harap penerimaan ini dapat diterjemahkan di peti undi pada 1 Ogos nanti. Kami tidak menghadapi banyak persoalan, jentera berjalan dengan baik, petugas melakukan tugasan masing-masing dengan teratur, menyantuni seramai mungkin, insya-Allah pilihan raya kali ini akan berikan kemenangan kepada BN.
“(Bersama PH) susah berbanding dengan sekarang, sebab itu kami buat persefahaman taktikal untuk mengharungi pilihan raya ini kerana terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu, mereka mahu melihat tidak ada pertembungan parti-parti Melayu jadi mudah untuk buat keputusan.
“Dahulu mereka berbelah-bahagi, sudahnya apabila parti teras Melayu iaitu UMNO, Pas, Bersatu berlaga sesama sendiri jadi pecah undi, menguntungkan pihak ketiga.
“Kali ini mudah sahaja, berlawan terus , dulu sampai tiga, empat penjuru, orang susah buat pilihan jadi itu satu kelebihan kita buat persefahaman dalam menghadapi pilihan raya kali ini,” katanya.
Timbalan Presiden UMNO tersebut dalam pada itu menyambut baik manifesto yang dilancarkan PN semalam yang bertujuan melengkapkan manifesto BN.
“Ia bagus, jika ada apa-apa tertinggal dalam manifesto BN, ia ditambah nilai. Kami menggalu-alukan kerana ia akan menambah kebaikan kepada rakyat, bukan semua dalam manifesto itu kita dapat perincikan satu persatu,” kataya. – UTUSAN










