JOHOR BAHRU: Pengasas Network School yang beroperasi di Forest City, Iskandar Puteri, Balaji Srinivasan menangguhkan semua rancangan pelaburan baharu syarikatnya di negara ini susulan kontroversi melibatkan kehadiran warga Israel dalam program anjurannya.
Balaji berkata, beberapa rakan pelabur serta eksekutif syarikat teknologi antarabangsa yang dibawanya ke Forest City juga mengambil pendekatan yang sama dengan menangguhkan rancangan pelaburan masing-masing.
Katanya, keputusan itu dibuat sehingga pihak terlibat mendapat jaminan bahawa insiden sama tidak akan berulang sehingga boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.
“Sehari sebelum Pilihan Raya Negeri Johor pada 11 Julai, akaun media sosial tanpa nama (MP4P) memuat naik hantaran di Instagram yang secara palsu menuduh Network School melindungi pendatang asing tanpa izin.
“Tuduhan sensasi itu mencetuskan kekecohan di Malaysia sehingga pihak berkuasa hadir ke kampus kami pada 14 Julai untuk menjalankan siasatan,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial X.
Katanya, selepas pihak berkuasa memeriksa ratusan pasport milik individu dari 40 negara berlainan, termasuk individu yang memegang dwi-kewarganegaraan, pihak berkuasa mengesahkan bahawa semua dokumen perjalanan adalah sah pada 15 Julai.
“Sepanjang proses itu, kami beri kerjasama penuh. Anda boleh melihat gambar lelaki, wanita dan kanak-kanak di Network School senyum sambil memegang pasport masing-masing pada waktu siang.
“Wajah kami jelas dan identiti kami diketahui umum. Kami tidak ada apa-apa untuk disembunyikan,” katanya sambil memberitahu bahawa proses siasatan tersebut telah memberi kesan kepada reputasi syarikat dan keyakinan pelabur.
Tambah Balaji, proses sedemikian sudah menjadi satu bentuk hukuman apabila laporan palsu dibuat telah memaksa polis menyiasat sesuatu perkara yang tidak wujud, sekali gus mengalihkan perhatian daripada tugas melindungi rakyat.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa pihak mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City yang didakwa telah menarik minat usahawan asing, termasuk warga Israel yang melancong menggunakan pasport negara kedua.
Selasa lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta kementerian berkaitan menyiasat dakwaan bahawa terdapat warga Israel yang menyertai program Network School di Forest City, Iskandar Puteri menggunakan pasport negara kedua.
Beliau dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan bertindak secara bertanggungjawab serta berlandaskan undang-undang demi melindungi kepentingan negeri dan mempertahankan kedaulatan negara.-UTUSAN









