Penganjuran semula F1 hasil diplomasi diraja

Penganjuran semula F1 hasil diplomasi diraja

PENGANJURAN Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Malaysia pada Oktober ini merupakan hasil kejayaan diplomasi diraja yang diperkukuh hasil hubungan erat antara Malaysia dan Bahrain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Malaysia pada Oktober ini merupakan hasil kejayaan diplomasi diraja yang diperkukuh hasil hubungan erat antara Malaysia dan Bahrain.

Menurut kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, perkembangan itu mencerminkan hubungan baik dan tahap kepercayaan tinggi antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al-Khalifa.

“Penganjuran F1 GP Bahrain sebelum ini berdepan cabaran susulan ketidaktentuan terhadap kalendar perlumbaan akibat konflik keselamatan di Asia Barat, sekali gus memerlukan penyelesaian segera bagi memastikan perlumbaan berprestij itu dapat diteruskan.

“Dalam usaha mencari jalan penyelesaian, Raja Hamad mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon bersama Yang di-Pertuan Agong bagi membincangkan langkah terbaik untuk menjamin kelangsungan perlumbaan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah GP Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.

Kata kenyataan itu lagi, perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh persahabatan menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik membabitkan Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain, F1 dan FIA.

“Hasil persefahaman tersebut, SIC dipilih sebagai lokasi penganjuran F1 GP Bahrain, sekali gus menyaksikan perlumbaan F1 kembali ke Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.

“Pemilihan Sepang sebagai tuan rumah mendapat sambutan baik terutama dalam kalangan peminat sukan permotoran tempatan dan serantau yang menyambut baik kembalinya perlumbaan berprestij itu,” katanya.

Katanya, penganjuran F1 GP Bahrain di Malaysia bukan sahaja menghidupkan semula kenangan era perlumbaan di Sepang, malah mencipta lembaran baharu dalam hubungan diplomasi Malaysia-Bahrain yang berteraskan persahabatan dan kerjasama strategik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN