Penganggur dijel 3 tahun pecah masuk restoran - Utusan Malaysia

Penganggur dijel 3 tahun pecah masuk restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dipenjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah pecah masuk di sebuah restoran, awal tahun lalu.

Tertuduh, M. Yugendran, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dr. Azrol Abdullah.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 22 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, Yugendran didakwa telah pecah masuk dengan niat mencuri di sebuah restoran di Jalan Dato Haji Eusoff, Titiwangsa Sentral, di sini, pada pukul 10 pagi, 23 Januari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, seorang wanita berusia 51 tahun membuat laporan polis selepas mendapati kunci mangga premis miliknya dipotong sebelum menyedari wang tunai dari mesin kaunter wang dan sebuah telefon bimbit hilang.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian mengesan lelaki itu berada di dalam premis berkenaan.

Dianggarkan keseluruhan kerugian yang ditanggung mangsa kira-kira RM1,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran.

Sementara itu, Yugendran yang tidak diwakili peguam pula merayu agar dia dikenakan hukuman ringan atas alasan tidak bekerja selain mempunyai dua orang anak masing-masing berumur 10 dan 9 tahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN