SHAH ALAM: Penduduk di Pangsapuri Seri Pinang, Setia Alam, di sini, hari ini gempar selepas sebuah rumah di tingkat 9 terbakar sehingga mencetuskan asap tebal.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1 tengah hari tadi.
Katanya, bagaimanapun kejadian tersebut tidak melibatkan mangsa.
“Komander operasi melaporkanb kebakaran sebuah rumah di tingkat 9 berkelusan 28 meter persegi. Anggaran peratusan kebakaran 60 peratus dan tidak melibatkan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong dan Klang Utara yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota serta dibantu dua buah jentera fire resque tender (FRT).
Terdahulu, kejadian tersebut tular dalam media sosial apabila kepulan asap yang keluar dari tingkap rumah berkenaan mencetuskan gempar dalam kalangan penduduk yang menyedarinya. – UTUSAN










