SERDANG: Kerja-kerja mengalihkan sisa kebakaran menggunakan jentera pengorek sedang dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Pasar Borong Selangor di sini bagi mengesan kemungkinan terdapat mangsa yang tertimbus dalam kebakaran itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, tindakan itu dilaksanakan selepas pihaknya mengesan aktiviti orang tinggal dalam bangunan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan awal sejurus kebakaran dipadamkan sepenuhnya, beberapa petunjuk seperti katil dan kesan aktiviti orang bermalam dikesan dalam premis itu.
“Setakat ini,belum dapat mengesahkan sama ada terdapat mangsa kerana perlu menunggu kerja-kerja mengalihkan timbunan sisa kebakaran selesai.
“Kerja-kerja pengalihan sisa kebakaran ini mengambil masa antara lima sehingga lapan jam sebelum pasukan forensik bomba digerakkan masuk ke dalam lokasi kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Ashrul Riezal berkata, semakan dengan pemilik tapak mendapati, semua pekerja berjaya dikenal pasti dan tiada laporan individu hilang diterima setakat ini.
“Bagaimanapun, operasi mencari tetap diteruskan sebagai langkah memastikan tiada mangsa tertinggal di dalam timbunan sisa kebakaran,” ujarnya.
Tambahnya, setakat pukul 11.40 pagi tadi, pasukan forensik dari Ibu Pejabat JBPM Selangor dan Putrajaya sudah berada di lokasi bagi menjalankan penilaian serta mengenal pasti kawasan panas (hotspot) sebelum memberi pelepasan kepada
jentera pengorek memasuki kawasan kejadian.
Katanya, operasi pemadaman berdepan cabaran mendapatkan bekalan air, selain keadaan api yang terlalu marak sehingga menyukarkan proses pemadaman secara langsung dari bahagian bawah.
“Atas faktor keselamatan, kita memutuskan supaya tiada anggota memasuki bangunan dan pemadaman hanya dilakukan menggunakan empat aerial ladder platform (ALP) bagi menbuat pancutan air dari bahagian atas kerana punca api terlindung di bawah bumbung zink,” jelasnya.
Jelasnya, tiga pasukan pemadaman digerakkan, masing-masing dua di bahagian hadapan dan satu di belakang premis bagi menjalankan kerja-kerja penyejukan untuk mengelakkan tompokan api kembali marak. – UTUSAN










