KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja kedai perkakasan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik kandungnya yang berusia 16 tahun.
Pemuda berusia 25 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selepas pihak pendakwaan memohon supaya tiada jaminan diberikan berikutan hubungan tertuduh dan mangsa sebagai adik-beradik serta bagi memastikan keselamatan mangsa daripada sebarang gangguan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol adik kandungnya pada Januari lalu kira-kira pukul 11 malam di sebuah rumah di Kampung Titian Baru di sini.
Perbuatan itu didakwa dilakukan terhadap mangsa yang mempunyai pertalian darah dengannya yang tidak dibenarkan berkahwin di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang didakwa sebagai individu yang mempunyai hubungan amanah sebagai abang kandung telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara meletakkan kemaluannya pada kemaluan kanak-kanak perempuan itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 21 Jun lepas kira-kira pukul 9 malam. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(d), selain hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali mengikut Seksyen 16(1) kerana mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.
Mahkamah menetapkan 2 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










