Pelan nasional tangani buli perlu disegerakan

Pelan nasional tangani buli perlu disegerakan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan tindakan nasional bagi menangani budaya buli dan keganasan di sekolah perlu diperkenalkan segera susulan kes tikaman melibatkan pelajar di Banting, Selangor.

Kejadian yang dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati itu menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan sistem pengesanan awal pelajar berisiko serta tahap keselamatan di institusi pendidikan.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, insiden tersebut tidak boleh dianggap sekadar pergaduhan biasa kerana melibatkan penggunaan senjata dan mencederakan rakan.

Katanya, kejadian itu memberi amaran mengenai ancaman buli fizikal, tekanan mental, ugutan, gangguan emosi dan perbuatan membalas dendam dalam kalangan pelajar.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak menuntut ilmu. Jika pelajar sudah membawa senjata dan bertindak ganas terhadap rakan sendiri, ia menunjukkan terdapat isu lebih besar yang perlu ditangani secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan tindakan segera yang diambil selepas kejadian itu serta menilai semula garis panduan keselamatan sekolah bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Katanya, Pasukan Tindakan Khas Anti-Buli perlu ditubuhkan di setiap sekolah dengan penglibatan guru, kaunselor, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), polis serta wakil komuniti.

Selain itu, saringan psikologi dan kesihatan mental secara berkala perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti pelajar yang berisiko menjadi mangsa atau pelaku keganasan.

Beliau turut mencadangkan penambahan kaunselor profesional, pelaksanaan sistem aduan digital secara sulit serta peningkatan rondaan polis di sekolah yang dikenal pasti berisiko tinggi.

“Tindakan disiplin perlu dilaksanakan secara tegas tetapi berasaskan pemulihan, termasuk intervensi terhadap pelaku supaya perbuatan sama tidak berulang.

“Keselamatan pelajar merupakan tanggungjawab negara dan setiap ibu bapa berhak memastikan anak mereka pulang dari sekolah dalam keadaan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN