KUALA LANGAT: Remaja perempuan yang cedera ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting kelmarin dipercayai antara individu yang berada dalam senarai sasaran suspek yang tular di media sosial.
Bapa mangsa, Mohd. Firuz Ibrahim, 43, mengesahkan nama anak perempuannya itu terdapat dalam senarai berkenaan dan dikatakan berada di nombor 10.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan kesahihan senarai tersebut dan menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Nampaknya nama anak saya ada dalam senarai itu di nombor 10,” katanya ditemui di Hospital Banting, di sini, semalam.
Dalam kejadian kelmarin, mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik mengalami kecederaan akibat ditikam antara 14 hingga 16 kali pada bahagian muka dan belakang badan sehingga menembusi paru-paru.
Kejadian itu menggemparkan warga sekolah berkenaan apabila mangsa diserang ketika berada di kawasan sekolah.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan mangsa yang disahkan peguam menghidap autisme kini menjalani rawatan selepas suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis.
Mohd. Firuz berkata, anaknya menjalani pembedahan selama kira-kira tiga jam di dewan bedah Hospital Banting sebelum dipindahkan ke wad biasa pada pukul 4 petang semalam.
Menurutnya, doktor memaklumkan anaknya itu mungkin perlu berada di hospital selama seminggu bagi pemantauan dan proses pemulihan.
“Alhamdulillah, keadaan anak semakin stabil.
“Dia cakap rasa sakit semakin berkurangan, namun masih dalam pemantauan doktor dengan jururawat.
“Tiub masih dipasang untuk mengeluarkan darah dalam paru-paru.
“Mengenai kedalaman luka, saya tidak pasti, tetapi doktor akan melihat perkembangannya dalam tempoh dua atau tiga hari,” katanya. – UTUSAN










