PETALING JAYA: Seramai 12 individu termasuk enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pengeluaran 1,306 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang menyebabkan kerajaan kerugian dianggarkan RM2.4 juta.
Mereka yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai penguat kuasa JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM serta seorang anggota polis. Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 40-an.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata, semua suspek ditahan dalam operasi yang dijalankan antara jam 2 petang hingga 5 petang pada 28 Julai lalu di Ibu Pejabat SPRM serta beberapa lokasi JIM di Pulau Pinang.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan hasil kerjasama SPRM dan JIM bagi menumpaskan kegiatan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang digunakan untuk memproses permohonan serta kelulusan PLKS secara tidak sah.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini mengeksploitasi kuota PLKS tahun 2011 bagi mengeluarkan pas secara tidak sah tanpa membuat bayaran levi yang sepatutnya kepada kerajaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi itu adalah hasil perkongsian risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM yang dijalankan sejak Mei lalu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Jelasnya, operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Cyber Security Malaysia (CSM), Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM.
“Dalam operasi sama, pasukan penyiasat turut menggeledah beberapa premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009,” jelasnya.
Abd. Halim berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.-UTUSAN










