PETALING JAYA: OCBC Bank (Malaysia) Berhad memperuntukkan pembiayaan berjumlah RM325 juta bagi menyokong pelaksanaan projek Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100MW/400MWj di bawah Program Simpanan Tenaga Bateri (MyBeST), sekali gus memperkukuh pembangunan infrastruktur tenaga bersih negara.
Pembiayaan itu disalurkan kepada ESS Bahau Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh ERS Energy Sdn. Bhd., yang merupakan antara empat pembida berjaya dipilih Suruhanjaya Tenaga menerusi MyBeST, program pembidaan kompetitif pertama Malaysia bagi projek simpanan tenaga bateri berskala grid.
OCBC Bank bertindak sebagai Pengatur Utama yang Diberi Mandat dan Ejen Kemudahan bagi projek berkenaan yang dijadualkan memulakan operasi komersial pada Julai 2027.
Ketua Perbankan Borong OCBC Bank, Jeffery Teoh Nee Teik berkata, pembiayaan RM325 juta itu bukan sahaja meliputi pembangunan kemudahan BESS, malah menyediakan modal kerja bagi menyokong aktiviti kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
“Kami berbesar hati dapat menyokong ERS Energy melaksanakan antara projek simpanan tenaga bateri berskala utiliti pertama di Malaysia, yang menjadi satu mercu tanda penting dalam peralihan tenaga negara.
“Komitmen ini mencerminkan usaha OCBC menyediakan penyelesaian pembiayaan strategik bagi memperkukuh infrastruktur tenaga kritikal serta mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan ERS Energy Sdn. Bhd., Jonathan Kan berkata, kejayaan mencapai penyempurnaan kewangan projek ESS Bahau merupakan pencapaian strategik yang membuktikan keupayaan syarikat mendapatkan pembiayaan serta kekuatan model EPCC bersepadu yang dilaksanakan.
Katanya, kerjasama dengan OCBC Bank memperlihatkan keyakinan institusi kewangan terhadap keupayaan teknikal dan kewangan projek tersebut, sekali gus membantu membina asas pembangunan sistem simpanan tenaga berskala utiliti di negara ini.
“Projek ini akan meningkatkan kebolehpercayaan grid elektrik negara, mempercepatkan peralihan tenaga serta menjadi penanda aras kepada pembangunan projek simpanan tenaga pada masa depan,” katanya.
Sistem simpanan tenaga bateri memainkan peranan penting dalam menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui ke dalam grid elektrik negara selain meningkatkan kestabilan bekalan elektrik, sejajar dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui mencecah 70 peratus menjelang 2050.
Sehingga kini, OCBC Bank telah menyediakan pembiayaan hijau, sosial dan berkaitan kemampanan melebihi RM12 bilion sebagai sebahagian daripada komitmennya menyokong pembangunan mampan dan agenda peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
Bank itu turut menyatakan kesediaannya untuk terus menyokong lebih banyak projek simpanan tenaga susulan pelaksanaan inisiatif Suruhanjaya Tenaga seperti program Solar Berskala Besar 6 (LSS6) dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui, yang dijangka meningkatkan permintaan terhadap penyelesaian penyimpanan tenaga di Malaysia. –UTUSAN










