ALOR GAJAH: Tindakan sekumpulan pelajar dipercayai membuli rakan sendiri dengan membaling ais membawa padah apabila mangsa bertindak balas dengan mengejar mereka menggunakan sebilah pisau pemotong kertas dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di daerah ini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu berlaku ketika satu program sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati pelajar lelaki Tingkatan Satu berusia 13 tahun itu berang selepas dibaling ais berulang kali oleh tiga rakannya.
Menurut beliau, dua daripada pelajar terbabit masing-masing berusia 13 tahun, manakala seorang lagi berusia 14 tahun.
“Suspek kemudian mengeluarkan pisau pemotong kertas yang disimpan di dalam bekas pensilnya sebelum mengejar salah seorang pelajar sejauh kira-kira 50 meter hingga ke kawasan surau sekolah.
“Dua lagi pelajar yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang dicederakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadaan berjaya dikawal apabila seorang guru bertindak memujuk pelajar berkenaan sehingga dia menyerahkan pisau tersebut.
Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan pelajar mahupun guru susulan insiden itu.
“Susulan kejadian itu, keluarga suspek dipanggil ke sekolah sebelum membawa pelajar terbabit pulang.
“Siasatan juga mendapati suspek pernah menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu,” katanya.
Ahmad berkata, hasil siasatan turut mendapati semua pelajar yang terlibat mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal tahun ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – UTUSAN










