Malaysia tidak tunduk ugutan Ahli Kongres AS

Malaysia tidak tunduk ugutan Ahli Kongres AS

ANWAR Ibrahim ketika menghadiri Jelajah Rakan Muda 2026 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Seremban, semalam.-UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus mempertahankan hak sebagai sebuah negara berdaulat untuk menghalang kemasukan mana-mana warganegara Israel ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, pendirian itu bukan dasar baharu, sebaliknya telah dilaksanakan sejak puluhan tahun lalu susulan kekejaman, penjajahan dan pembunuhan berterusan yang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Menurutnya, Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan atau tekanan daripada mana-mana pihak yang mempertikaikan dasar tersebut.

“Ternyata mereka langsung tidak mengikuti perkembangan itu. Banyak negara yang melarang dan Malaysia sudah melarang sejak puluhan tahun lalu.

“Mereka boleh membuat ugutan, tetapi saya akan tetap tegas mempertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan yang dibuat oleh rakyat Malaysia untuk terus menghalang kehadiran mana-mana warganegara Israel di Malaysia,” katanya selepas menghadiri Jelajah Rakan Muda 2026 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, semalam.

Beliau mengulas gesaan beberapa ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) kelmarin yang mendakwa Malaysia melanggar undang-undang antarabangsa susulan larangan terhadap warganegara Israel.

Lapan ahli Kongres AS menggesa Setiausaha Negara Marco Rubio menilai semula hubungan keselamatan dan ekonomi Washington dengan Malaysia, termasuk mempertimbangkan penggantungan pembiayaan latihan ketenteraan susulan kenyataan Anwar bahawa rakyat Israel yang ditemui berada di negara ini akan dihantar pulang.

Kenyataan Anwar itu dibuat susulan dakwaan warga Israel menggunakan pasport negara lain untuk menyertai Network School, sebuah komuniti digital nomad di Forest City, Johor.

Surat berkenaan diketuai Ahli Kongres Ohio, Greg Landsman bersama beberapa anggota Dewan Perwakilan daripada Parti Demokrat iaitu Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.

Dalam surat bertarikh 21 Julai, mereka mendakwa keengganan Malaysia mengiktiraf Israel sebagai sesuatu yang membimbangkan dan menggesa tindakan diambil sekiranya kerajaan Malaysia tidak mengubah pendirian dalam tempoh 15 hari.

Anwar berkata, dakwaan itu tidak berasas memandangkan Malaysia berhak menentukan dasar negaranya sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Beliau menjelaskan, Malaysia tidak mempunyai masalah dengan rakyat beragama Yahudi. Sebaliknya, pendirian negara hanya tertumpu terhadap warganegara Israel yang dikaitkan dengan tindakan kejam terhadap rakyat Palestin.

Sementara itu, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa besar termasuk AS dalam menentukan dasar luar negara yang berasaskan kepentingan nasional dan prinsip kemanusiaan.

Katanya, sebagai negara berdaulat, Malaysia mempunyai hak mutlak menentukan dasar luar sendiri tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa besar seperti AS.

Menurutnya, pendirian Malaysia berhubung isu Palestin dan Israel bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya berasaskan prinsip kemanusiaan serta dasar luar negara yang konsisten sejak sekian lama.

Tambah beliau, Malaysia tidak boleh berganjak hanya disebabkan desakan luar termasuk gesaan lapan ahli Kongres AS supaya Marco Rubio menilai semula hubungan keselamatan dan ekonomi Washington dengan Kuala Lumpur.

“Malaysia bukan sebahagian tanah jajahan AS. Kita negara merdeka yang mempunyai hak menentukan kepentingan nasional sendiri. Kita tidak boleh ikut telunjuk mana-mana negara.

“Dasar luar kita bebas dan tidak berpaksi kepada mana-mana kuasa besar. Ada masa kita berbaik dengan China, tetapi itu tidak bermakna kita ikut telunjuk mereka setiap masa. Begitu juga dengan AS,” katanya.

Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, tindakan ahli Kongres AS itu merupakan cubaan mencampuri dasar keselamatan Malaysia.

“Ini hak Malaysia sebagai negara berdaulat. Jika terdapat individu memasuki negara menggunakan identiti atau kewarganegaraan lain dan kemudian disahkan mempunyai kaitan dengan perkara yang menjejaskan keselamatan negara, tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya.

Pakar geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, gesaan itu menunjukkan ketidakfahaman terhadap dasar luar Malaysia yang sejak dahulu tidak mengiktiraf Israel dan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN