TAMPIN: Penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) di negara ini tidak dikenakan bayaran yuran pendaftaran kepada Fédération Internationale de l’Automob (FIA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa kepadanya melalui panggilan telefon semalam.
Menurutnya, kerajaan hanya akan menanggung kos membaik pulih Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang dianggarkan sebanyak RM16 juta bagi memenuhi keperluan perlumbaan.
“Semalam saya menerima panggilan dan dimaklumkan bayaran awal yang sebelum ini dibayar ratusan juta kepada syarikat Formula Satu dihapuskan, jadi kita tidak perlu bayar lagi.
“Kalaupun ada sedikit perbelanjaan, ia hanya untuk membaiki trek. Saya jangkakan sekitar RM16 juta. Sedangkan negara lain membelanjakan ratusan juta malah sehingga RM1 bilion untuk menganjurkan F1,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison Gemas, Kem Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.
Anwar berkata, penganjuran semula F1 bakal menjadikan Malaysia tumpuan dunia dengan kehadiran pelumba bertaraf antarabangsa, pasukan teknikal serta ribuan jurutera dari pelbagai negara.
Katanya, kejayaan Malaysia memperoleh pengecualian bayaran itu didorong keyakinan pihak pengurusan F1 terhadap aspek keselamatan dan kecekapan pentadbiran negara.
“Saya beri jaminan kepada mereka bahawa pengurusan kita akan dilaksanakan dengan baik.
“Rahsianya ialah negara ini aman hasil kekuatan pasukan keselamatan serta pengurusan yang dianggap cekap,” katanya.
Beliau berkata, kali terakhir Malaysia menganjurkan perlumbaan berprestij tersebut adalah kira-kira sedekad lalu dengan kos penganjuran yang mencecah ratusan juta ringgit. – UTUSAN










