PETALING JAYA: Kekuatan sektor kewangan Malaysia yang bernilai RM4.3 trilion akan dimanfaatkan bagi membuka peluang pelaburan baharu dalam projek tenaga bersih di rantau ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan kewangan Malaysia termasuk kepakaran dalam sukuk hijau dilihat mampu menarik pelaburan mampan untuk projek tenaga boleh baharu (TBB).
Katanya, transformasi tenaga itu memerlukan modal besar untuk membina ladang solar, menaik taraf grid elektrik serta memasang sistem penyimpanan tenaga moden.
“Kerajaan tidak mampu menanggung keseluruhan kos peralihan tenaga bersendirian dan memerlukan kerjasama sektor awam, pelabur swasta serta pemaju projek.
“Dapat dilihat sebelum ini, Malaysia telah memperkenalkan sukuk hijau pada 2017 sebagai gabungan prinsip kewangan Islam dengan keperluan kelestarian alam sekitar.
“Pengalaman Malaysia dalam pembiayaan hijau boleh digabungkan dengan teknologi Greater Bay Area bagi mempercepat pembangunan tenaga boleh baharu,” katanya berucap di Majlis Persidangan Greater Bay Area (GBA)-ASEAN 2026 di Sunway Resort Hotel, hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerjasama strategik antara Malaysia, GBA dan ASEAN mampu membina sistem tenaga moden yang lebih stabil serta mengurangkan risiko rantaian bekalan.
Katanya, peralihan tenaga bukan sekadar agenda alam sekitar, sebaliknya menjadi keperluan strategik bagi memperkukuh keselamatan tenaga, meningkatkan daya saing ekonomi serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati masyarakat.
“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha integrasi tenaga ASEAN menerusi kerjasama dan pelaburan yang mampan.
“Ini kerana, Malaysia mempunyai saiz sektor kewangan yang besar bernilai RM4.3 trilion, dan kekuatan kewangan itu mahu digunakan untuk membantu menarik serta membiayai pelaburan dalam projek tenaga bersih di negara-negara ASEAN,” katanya.-UTUSAN










