NARATHIWAT: Malaysia tidak terlibat dengan konflik bersenjata yang sedang memuncak di Selatan Thailand, sama ada memberi sokongan atau menyalurkan pembiayaan kepada kumpulan pemisah di Pattani.
Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) menafikan dakwaan yang sedang berlegar di wilayah bergolak itu yang mengaitkan Malaysia membiayai aktiviti kumpulan mereka.
Presidennya, Kasturi Mahkota berkata, tidak ada bukti kukuh yang boleh mengesahkan naratif jahat bertujuan mencemarkan imej Malaysia itu.
Katanya, sejak 2013, Malaysia memainkan peranan sebagai fasilitator dalam proses dialog damai antara kumpulan pemisah dengan Kerajaan Thailand bagi mencari penyelesaian secara aman terhadap konflik bersenjata.
Ujarnya, Dekri Darurat yang sepatutnya berakhir 20 Julai lalu dilanjutkan kepada 19 Oktober untuk mengekalkan kuasa pasukan keselamatan di 18 daerah.
“PULO mengambil maklum dakwaan pihak tertentu yang cuba mengaitkan Malaysia sebagai pihak yang memberi sokongan atau pembiayaan.
“Pendirian kami adalah jelas iaitu sebarang dakwaan seperti itu hendaklah disokong dengan bukti kukuh dan boleh disahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 22 Julai lalu, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan lebih 200 das tembakan dalam serangan ke atas Pusat Pemeriksaan Bukit Sami di Tanyong Mas, daerah Rangae sehingga mengorbankan lima anggota Pasukan Petugas Renjer Ke-45.
Dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, kumpulan itu turut melarikan empat laras raifal AK-47 dan sepucuk pistol milik anggota terkorban.
Penangguhan dialog damai antara Kerajaan Thailand dengan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) sehingga September ini menyebabkan kawalan keselamatan di wilayah bergolak diperketat selama tiga bulan, susulan kebimbangan ancaman kembali meningkat.
Sepanjang Mei hingga Jun lalu, sebanyak 27 insiden berlaku di tiga wilayah Selatan Thailand termasuk kes pengeboman yang mencederakan dua rakyat Malaysia di Tak Bai.
Daripada jumlah itu, 14 insiden melibatkan pengeboman, 10 kejadian tembak dan tiga kes pembakaran stesen minyak.
Kasturi mendesak semua pihak termasuk agensi media tempatan melaporkan isu berkaitan konflik secara bertanggungjawab dan berasaskan fakta.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah mencari jalan untuk menamatkan konflik dan mewujudkan keamanan berkekalan di wilayah ini.
“PULO tetap menyokong proses dialog damai dan rundingan yang inklusif serta menghargai peranan Malaysia sebagai fasilitator dalam usaha menuju penyelesaian yang penuh, aman dan adil secara berkekalan,” katanya.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang mahu berkunjung ke wilayah ini diminta berwaspada, susulan laporan risikan menunjukkan kemungkinan kumpulan bersenjata akan mencetuskan serangan di beberapa daerah.
Sumber mendedahkan, pasukan keselamatan kini meningkatkan pengawasan di kawasan berisiko tinggi di Narathiwat dan meminta kerjasama orang ramai serta pelancong supaya peka dengan sebarang aktiviti mencurigakan.
“Sasaran berpotensi termasuk pengeboman atau pembakaran ke atas pusat perniagaan dan kedai serbaneka serta rompakan kedai emas atau mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
“Kawasan yang diarahkan tahap keselamatan dipertingkat termasuk daerah Sungai Golok, Tak Bai, Waeng, Mueang Narathiwat dan kawasan sekitarnya,” katanya. – UTUSAN










