Malaysia mungkin jadi tuan rumah F1 sekiranya Bahrain digugurkan

Malaysia mungkin jadi tuan rumah F1 sekiranya Bahrain digugurkan

Dr. Mohammed Taufiq Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mungkin menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekiranya Grand Prix Bahrain digugurkan daripada kalendar perlumbaan musim ini.

Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari berkata, kerajaan telah menerima maklumat awal berhubung kemungkinan tersebut dan perkara itu turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kementerian kini sedang menjalankan penelitian serta perbincangan lanjut berhubung cadangan berkenaan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Kementerian kekal komited dalam menyokong pembangunan sukan negara termasuk sukan permotoran.

“Sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan selepas perkara ini dimuktamadkan,” katanya memetik laporan Timesport.

Sebelum ini, Reuters melaporkan Sepang antara beberapa litar yang sedang dipertimbangkan sekiranya Bahrain tidak dapat menganjurkan perlumbaan yang ditangguhkan itu susulan perkembangan semasa di rantau berkenaan.

Selain Sepang, beberapa lokasi lain turut disenaraikan termasuk Litar Portimao di Portugal, Litar Barcelona di Sepanyol dan Litar Suzuka di Jepun.

Menurut laporan itu yang memetik beberapa sumber ketika Grand Prix Hungary, Formula One Management (FOM) sedang meneliti satu slot perlumbaan antara Grand Prix Azerbaijan pada 27 September dan Grand Prix Singapura pada 11 Oktober sekiranya Bahrain tidak dapat meneruskan penganjuran.

Malaysia mempunyai sejarah panjang dalam penganjuran F1 apabila menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij itu selama 19 tahun sejak 1999, selepas Sepang muncul sebagai litar Formula Satu pertama yang dibina khas di Asia Tenggara.

Perlumbaan terakhir di Sepang berlangsung pada 1 Oktober 2017 apabila pelumba Red Bull, Max Verstappen muncul juara, diikuti Lewis Hamilton dari Mercedes dan rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo.

Bagaimanapun, kerajaan ketika itu memutuskan untuk tidak menyambung kontrak penganjuran selepas edisi 2017 berikutan peningkatan kos yuran penganjuran serta pulangan komersial yang semakin berkurangan.

Sejak itu, cadangan untuk mengembalikan F1 ke Malaysia beberapa kali dibangkitkan, namun komitmen kewangan tinggi menjadi antara cabaran utama.

Tahun lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan di Parlimen bahawa kerajaan tidak mempunyai perancangan segera menghidupkan semula Grand Prix Malaysia berikutan anggaran kos penganjuran tahunan sekitar RM300 juta.

Beliau berkata, usaha membawa semula F1 memerlukan sokongan kukuh sektor swasta, manakala dana kerajaan lebih wajar disalurkan kepada pembangunan atlet dan pengukuhan ekosistem sukan negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif sebelum ini menyatakan pihaknya berminat membawa semula F1 ke Sepang, namun sebarang bidaan perlu mengambil kira daya maju komersial, pembiayaan serta sokongan semua pihak berkepentingan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN