KUALA LUMPUR: Malaysia terus menggesa pentadbiran Myanmar mewujudkan persekitaran kondusif bagi membolehkan komuniti Rohingya kembali ke tempat asal mereka secara selamat.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi pelbagai saluran diplomatik dengan pihak Myanmar sebagai sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang terhadap krisis berkenaan.
Katanya, Malaysia juga terus memberi penekanan kepada pihak berkuasa Myanmar supaya menyelesaikan konflik dan menangani isu Rohingya dengan segera.
“Di peringkat serantau, Malaysia secara konsisten menggunakan platform ASEAN untuk menggesa pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) serta penyelesaian secara aman terhadap krisis di Myanmar.
“ASEAN juga terus memberikan keutamaan kepada pelaksanaan 5PC secara menyeluruh dan berkesan sebagai kerangka utama untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di Myanmar, selain mewujudkan keadaan yang kondusif agar komuniti Rohingya dapat kembali ke negara asal mereka.
“Dalam hal ini, Malaysia akan terus bekerjasama dengan ASEAN bagi menyokong pelaksanaan 5PC ke arah penyelesaian krisis di Myanmar,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol berhubung langkah konkrit yang sedang diambil ASEAN bagi memastikan pelarian Rohingya dapat kembali ke Myanmar dengan jaminan keselamatan, pengiktirafan hak dan kehidupan bermaruah memandangkan krisis itu telah berlarutan lebih sedekad.
Lukanisman berkata, Malaysia turut membangkitkan isu Rohingya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan platform antarabangsa lain bagi menggesa masyarakat dunia memainkan peranan lebih aktif dalam menangani punca krisis itu.
Katanya, usaha itu termasuk meningkatkan perkongsian tanggungjawab menerusi penempatan semula pelarian ke negara ketiga.
“Malaysia juga akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) serta negara-negara berkaitan bagi memudah cara proses penempatan semula pelarian, sementara menunggu keadaan di Myanmar membolehkan repatriasi dilaksanakan secara selamat, sukarela, bermaruah dan mampan.
“Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967. Sehubungan itu, sebarang dasar dan mekanisme pelarian dan pemohon suaka di Malaysia adalah berlandaskan kepada ‘Arahan MKN No. 23 (Semakan 2023): Mekanisme dan Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka di Malaysia’ yang menetapkan fungsi dan peranan kementerian serta agensi kerajaan yang terlibat,” katanya. – UTUSAN










