BANGI: Sorakan ribuan penyokong bola sepak yang memenuhi program tayangan skrin besar final Piala Dunia 2026 di sini menjadi pencetus harapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melihat Malaysia menjadi tuan rumah program itu suatu hari nanti.
Ahmad Zahid berkata, impian itu akan lebih manis jika pasukan Malaysia turut bertanding.
“Insya Allah satu hari nanti kita bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah World Cup.
“Dan mudah-mudahan ketika itu, pasukan Malaysia akan menjadi salah satu pasukan World Cup untuk mengharumkan nama negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada Pesta Menonton Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 dan Semarah Subuh di Bangi Square 2, hari ini.
Kira-kira lebih 7,000 pengunjung yang hadir memeriahkan program tersebut yang menghimpunkan peminat bola sepak daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Selain tayangan perlawanan, pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang malam termasuk sesi Borak Bola bersama legenda bola sepak negara seperti Datuk Zainal Abidin Hassan, Farizal Marlias dan Zaquan Adha yang berkongsi pandangan mengenai perlawanan akhir itu.
Sementara itu, pengunjung juga telah berpeluang menyertai cabutan bertuah, pertandingan trivia bola sepak.
Sejurus tamat perlawanan, program diteruskan dengan Semarak Subuh bersama Ahmad Zahid di Surau Al-Hamidiah, Kajang sebagai pengisian yang menggabungkan semangat kesukanan, kebersamaan masyarakat dan nilai kerohanian.
Dalam pada itu, aksi akhir Piala Dunia 2026 telah menyaksikan Sepanyol muncul sebagai juara dunia selepas kalahkan juara bertahan, Argentina. – UTUSAN










