NARATHIWAT (THAILAND): Tindakan Malaysia belum melantik fasilitator bagi menggantikan Datuk Mohd. Rabin Basir yang tamat tempoh perkhidmatan, menyebabkan Dialog Damai Selatan Thai antara Kerajaan Thailand dan wakil kumpulan pemisah, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) terpaksa ditangguhkan.
Pemantau rundingan bagi pihak Kerajaan Thailand, Wan Muhammad Noor Matha berkata, proses rundingan itu hanya boleh diteruskan selepas Malaysia melantik pengganti Mohd. Rabin.
“Proses rundingan damai di Selatan Thai sebenarnya bukan disebabkan oleh sebarang masalah lain (keganasan di Wilayah Narathiwat) tetapi kerana Malaysia sedang menukar fasilitatornya.
“Fasilitator sebelum ini telah meletak jawatan dan penggantinya belum dilantik. Oleh itu, kita mesti menunggu Kerajaan Malaysia melantik fasilitator baharu sebelum rundingan dapat diteruskan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas keputusan Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG), Thanat Suwannano yang mengumumkan penggantungan rundingan rasmi yang dijadualkan berlangsung pada September ini susulan dua insiden keganasan berskala besar di Wilayah Narathiwat, minggu lalu.
Sementara itu, Wan Muhammad Noor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perdana Menteri Thailand, mengesahkan bertemu beberapa pihak di Jakarta baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun menafikan membuat ‘perjanjian rahsia’ bagi membolehkan Indonesia membantu meredakan pergolakan di Selatan Thai.
“Saya telah meminta kebenaran daripada Perdana Menteri sebelum pergi dan Kementerian Luar Negeri telah dimaklumkan mengenainya. Tiada apa-apa yang bersifat rahsia mengenainya dan saya telah bercakap dengan ramai individu, kumpulan dan yayasan yang mengusahakan keamanan ketika di Jakarta.
“Masalah Selatan Thai bukanlah satu dimensi. Oleh itu, kita mesti terlibat dalam dialog dan mencari kerjasama melalui pelbagai saluran, termasuk isu-isu berkaitan ekonomi, sosial, pendidikan, keselamatan dan dadah, serta kerjasama politik,” ujarnya. – UTUSAN










