Majlis Statistik Negara bakal ditubuh selepa Akta Statistik 2026 diwarta

Majlis Statistik Negara bakal ditubuh selepa Akta Statistik 2026 diwarta

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Statistik Negara akan ditubuhkan selepas Akta Statistik 2026 diwartakan pada hujung tahun ini sebagai usaha memperkukuh tadbir urus sistem statistik negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, majlis itu merupakan antara pembaharuan utama yang diperkenalkan dalam RUU berkenaan bagi memperkukuh penyelarasan pembangunan statistik negara.

Menurut beliau, RUU Statistik 2026 akan menggantikan Akta Perangkaan 1965 yang disifatkan tidak lagi memenuhi keperluan semasa dalam menguruskan statistik negara.

Katanya, akta tersebut hanya pernah dipinda sekali pada 1989 dan pindaan itu sekadar melibatkan perubahan nilai mata wang daripada dolar kepada ringgit tanpa penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem statistik negara.

“Usaha menggubal RUU baharu itu telah diusahakan sejak sekian lama oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersama Kementerian Ekonomi bagi memastikan sistem statistik negara lebih moden dan selaras dengan perkembangan semasa.

“Apabila RUU ini diluluskan, kita mahu keputusan kerajaan dibuat berdasarkan data yang lebih tepat dan lebih menyeluruh,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.

Menurut beliau, selain penubuhan Majlis Statistik Negara, RUU itu turut memperuntukkan penjenamaan semula Jabatan Perangkaan Malaysia kepada Jabatan Statistik Malaysia, pelantikan Ketua Perangkawan berdasarkan kelayakan serta peluasan fungsi jabatan itu.

Katanya, sebuah pusat repositori data juga akan diwujudkan bagi memperkemaskan proses pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai agensi kerajaan.

Beliau berkata, pusat repositori itu bukan bertujuan memindahkan pemilikan data kepada Jabatan Statistik Malaysia, sebaliknya memastikan data yang dikumpulkan diselaraskan mengikut piawaian yang seragam serta terus dilindungi dari aspek kerahsiaan.

Menurut beliau, RUU Statistik 2026 turut memperkukuh aspek tadbir urus dan perlindungan data bagi meningkatkan keyakinan terhadap statistik rasmi negara serta menyokong penggubalan dasar yang lebih tepat dan berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN