PETALING JAYA: Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya menuju Gombak mengalami gangguan teknikal semalam apabila salah satu pintu tren berkenaan tidak dapat ditutup dengan sempurna.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, insiden itu dikesan pada pukul 11.08 pagi dan tindakan segera diambil dengan mengaktifkan prosedur keselamatan operasi bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.
Menurutnya, tren terbabit kemudiannya diarahkan ke Stesen Taman Bahagia sebelum semua penumpang diturunkan dengan selamat.
“Penumpang diminta meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya,” katanya.
Rapid KL memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Tren berkenaan telah dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk menjalani pemeriksaan teknikal dan tindakan susulan bagi mengenal pasti punca sebenar masalah.
Siasatan terperinci kini sedang dijalankan termasuk pemeriksaan terhadap sistem pintu tren sebelum kerja pembaikan sewajarnya dilakukan.
Rapid KL menegaskan aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan dalam setiap operasi perkhidmatan rel dan akan memastikan semua pemeriksaan serta tindakan pembaikan dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan. – UTUSAN










