KUALA LUMPUR: Lebih 91 peratus MyKiosk di seluruh negara berada dalam keadaan baik dan beroperasi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, majoriti MyKiosk telah dibuat pengisian, aktif beroperasi dan memberikan impak ekonomi positif kepada komuniti peniaga setempat.
“Inisiatif ini adalah bukti nyata manifestasi kerajaan yang meluncurkan agenda pembangunan fizikal seimbang tanpa sesekali meminggirkan kualiti hidup, keselamatan dan kesejahteraan rakyat marhaen,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkenaan bilangan terkini unit MyKiosk yang mengalami kerosakan kritikal, terbiar atau menjadi mangsa vandalisme di seluruh negara sehingga pertengahan 2026.
Kor Ming berkata, setakat Jun 2026, unit MyKiosk yang mengalami kerosakan adalah sebanyak 105 unit di tujuh negeri manakala tiada laporan berkaitan vandalisme atau terbiar.
Katanya, ia berdasarkan data kutipan dan laporan operasi menyeluruh daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menjawab soalan berhubung garis panduan penguatkuasaan dan pemantauan bagi semua PBT untuk mengekang isu pencerobohan, vandalisme dan penyewaan atas penyewaan (subletting), Kor Ming berkata, setiap kiosk yang siap dibina menjadi aset PBT sepenuhnya dan mereka bertanggungjawab untuk menyelenggara serta membuat pengisian peniaga.
“PBT yang terlibat perlu membaiki unit yang rosak agar dapat beroperasi semula dengan kadar segera.
“Bagi unit yang dikenal pasti tidak aktif, PBT perlu melaksanakan proses pemutihan. Kiosk yang tidak aktif akan ditawarkan kepada pemohon baharu yang berada dalam senarai menunggu atau dipindahkan (relocate) ke kawasan yang mempunyai aliran trafik pelanggan lebih tinggi.
“PBT digesa mempertingkatkan rondaan penguatkuasaan serta bekerjasama dengan komuniti peniaga tempatan sebagai mata dan telinga bagi memastikan keselamatan kiosk yang merupakan aset PBT,” katanya. – UTUSAN










