BATU PAHAT: Beberapa unit projek MyKiosk di sekitar Tongkang Pechah dilihat masih kosong dan tidak beroperasi walaupun telah mempunyai pemilik, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai status penggunaannya.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi sekitar Jalan Kapal Layar 9 di Taman Kapal Layar, Tongkang Pechah mendapati ada beberapa unit kios di kawasan itu dipenuhi air bertakung, berhabuk dan beberapa struktur besi berkarat serta tidak terurus sepenuhnya.
Keadaan sekitar juga kelihatan tidak terurus dengan banyak kenderaan diparkir di kawasan tersebut, menjadikan suasana seolah-olah terbiar dan kurang terjaga.
Dua kiosk itu didapati kosong manakala tiga unit lain berdekatan di jalan Kapal Layar Utama dikatakan mempunyai pemilik, namun masih belum memulakan perniagaan kerana kawasan yang kurang strategik berbanding kawasan sebelum ini.
Seorang peniaga makanan ringan berdekatan yang tidak ingin dikenali memaklumkan bahawa kawasan itu masih belum menerima kunjungan pelanggan seperti dijangka setakat ini, malah suasana masih kurang meriah berbanding ketika beliau dia di lokasi sebelum ini.
Katanya, peralihan lokasi menyebabkan jualan harian dilaporkan merosot dengan ketara sekali berbanding ketika berniaga di kawasan asal yang lebih strategik sebelum ini.
“Kalau sebelum ini saya mampu meraih jualan sekitar seribu ringgit seminggu dengan hanya menjual air balang ketika berada di lokasi lama.
“Walaupun kini berniaga di tepi jalan besar yang sepatutnya memberi peluang untuk mendapat tumpuan pelanggan, namun keadaan sebenar tidak seperti dijangka.
“Pelanggan tetap khususnya pemandu lori dan treler juga sukar untuk singgah kerana kawasan tersebut tidak sesuai untuk mereka berhenti dan parkir dengan selesa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Peniaga itu turut memaklumkan bahawa kios yang tidak beroperasi itu berpunca daripada pemilik kios yang merasakan bahawa kawasan tersebut kurang strategik berjauhan dari pelanggan tetap serta berada di kawasan perindustrian yang sunyi.
“Diharapkan bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu memainkan peranan dalam menangani perkara sebegini daripada berulang lagi, kerana ia amat merugikan peniaga kecil seperti kami,” katanya.
Pada 10 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan projek MyKiosk dikenal pasti sebagai antara projek ‘gajah putih’ kerana tidak mencapai objektif kerajaan dan menimbulkan ketidakselesaan kepada rakyat akibat penempatan yang tidak sesuai.
Pelaksanaan kajian keperluan secara menyeluruh termasuk penilaian kebolehlaksanaan dan impak ekonomi antara syor utama dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menambah baik pengurusan serta pelaksanaan projek MyKiosk. – UTUSAN










