Latihan di Kem Hobart diteruskan 

Latihan di Kem Hobart diteruskan 

PANGLIMA Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman ketika Majlis Pelancaran Rasmi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) di MITEC. Turut bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Lokman Hakim Ali dan Pengerusi Pameran dan Persidangan Global, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin. UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Insiden yang mengorbankan dua anggota dalam kes letupan bom tangan di Kem Hobart, Kedah baru-baru ini tidak menjejaskan sebarang operasi dan latihan ketenteraan. 

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, operasi dan latihan di kem tersebut akan diteruskan seperti biasa walaupun berlaku beberapa kejadian di kem tersebut termasuk kes letupan bom tangan tersebut. 

Katanya, Tentera Darat sedang meneliti sama ada terdapat ruang untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengendalian latihan serta aspek pemantauan dan fasiliti di Kem Hobart.

“Dari segi SOP, kita melihat sama ada terdapat ruang yang boleh ditambah baik dalam pengendalian latihan tersebut.

“Kita juga meneliti aspek fasiliti dan pemantauan di Kem Hobart bagi memastikan sebarang penambahbaikan yang diperlukan dapat dilaksanakan.

“Namun, perkara itu tidak menghalang kita untuk meneruskan latihan bagi meningkatkan kesiapsiagaan tempur pasukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan berhubung insiden itu masih berjalan namun dapatan tidak boleh didedahkan sehingga proses berkenaan selesai.

Menurut beliau, pihaknya ketika ini menumpukan kepada kebajikan keluarga anggota yang terkorban termasuk memastikan segala hak dan bantuan yang layak diterima disalurkan dengan sebaiknya.

“Segala pengurusan berkaitan anggota yang terkorban telah diuruskan sebaik mungkin mengikut kelayakan. Saya sendiri menziarahi keluarga mangsa di Alor Setar pada Sabtu lalu dan bertemu isterinya.

“Walaupun anggota itu telah terkorban, keluarganya tetap sebahagian daripada keluarga Tentera Darat dan kita akan terus membantu mereka,” katanya.

16 Jun lalu, media melaporkan dua anggota tentera maut dalam kejadian letupan bom tangan membabitkan anggota Tentera Darat Malaysia semasa menjalani latihan di lapang sasar. 

Insiden kedua berlaku pada 29 Jun lalu apabila dua lagi anggota cedera di bahagian lutut dipercayai terkena serpihan objek yang melenting akibat masalah teknikal pada senjata mesingan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN