PETALING JAYA: Tuas keselamatan bom tangan (grenad) dipercayai terlepas sebelum balingan sempat disempurnakan sehingga menyebabkan letupan yang mengorbankan dua anggota Tentera Darat (TDM) di Kem Hobart, Kedah pada 16 Jun lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dapatan itu berdasarkan kedudukan letupan, bukti di lokasi kejadian serta analisis kesan kecederaan dialami mangsa.
Katanya, pembaling grenad mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan tangan kanan, manakala pengasuh latihan pula cedera parah pada kepala, badan serta anggota sebelah kiri.
“Corak kecederaan tersebut selaras dengan dapatan bahawa grenad berfungsi sebelum sempat dibaling dan meletup ketika masih berada berhampiran bahagian atas kedua-dua anggota.
“Bagaimanapun, ketiadaan saksi yang melihat kejadian secara langsung menyebabkan tidak dapat dipastikan pada ketika mana tuas keselamatan itu terlepas,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam kejadian pada 16 Jun lalu, dua anggota TDM maut ketika menjalani latihan peningkatan tempur di Lapang Sasar Kem Hobart.
Letupan dalam kubu yang berlaku kira-kira pukul 10.57 pagi itu menyebabkan Allahyarhamah Lans Koperal Siti Khadijah Sungip dan Allahyarham Sarjan Nor Azmi Abu Bakar mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Mohamed Khaled berkata, susulan hasil siasatan itu, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperkukuh prosedur keselamatan, tatacara pengendalian grenad, tahap pengawasan serta pelaksanaan latihan bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.
Beliau berkata, aspek keselamatan anggota akan terus menjadi keutamaan dalam setiap latihan ketenteraan.
“Tiada kompromi dalam memastikan semua latihan dilaksanakan dengan tahap pematuhan, pengawasan dan keselamatan yang tertinggi,” katanya.
Siasatan terperinci itu dilaksanakan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian selain memastikan langkah penambahbaikan dapat dilakukan terhadap prosedur latihan melibatkan penggunaan peralatan tempur.
ATM sebelum ini memaklumkan kejadian berkenaan berlaku ketika latihan melempar grenad dalam program peningkatan tempur yang melibatkan anggota TDM di kem berkenaan. – UTUSAN










